Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – “Pelajar mesti diberikan pendedahan bagi memupuk amalan budaya masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan bersifat toleransi dalam usaha membentuk negara yang aman makmur dan sejahtera”, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis perasmian Kem Kepimpinan dan Kebudayaan Karamah Insaniah Karnival Showcase Aspirasi Madani Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Perlis di Kem Datuk Ariffin Mohd Nam, Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis di Tasoh, Padang Besar.
Para murid juga hendaklah sentiasa diberikan pendedahan untuk lebih berdaya saing, berfikiran kritikal dan bersedia menghadapi segala perubahan yang berlaku dalam dunia yang serba mencabar ini.
Tambah baginda lagi, usaha memupuk dan menyemai semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai kaum merupakan suatu wahana yang penting.

Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat membentuk jati diri, daya kepimpinan yang tinggi dan berupaya melahirkan murid yang berdaya saing dan memiliki mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan. Aspek ini sangat penting dalam usaha kita untuk sama-sama memupuk rasa saling menghormati dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza.
Program ini diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan semangat kepimpinan dalam kalangan murid serta menggalakkan kecintaan terhadap budaya dan nilai Karamah Insaniah.
Keberangkatan ketibaan Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Puan Rose Aza Che Arifin, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus.
Majlis ini telah dianjurkan oleh JPN Perlis dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, SJKC Kong Aik, dan SJKC Choon Siew yang melibatkan seramai 75 orang murid bagi Kem Kepimpinan dan Kebudayaan serta 55 orang murid lagi bagi Karnival Showcase Aspirasi Madani.
Turut berlangsung sama ialah majlis pelancaran Projek Skim Bantuan Dana Bagi Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di negeri Perlis.