Diterbitkan pada 9 November 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan kenyataan dalam Facebook Sarawak Public Feedback yang boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham serta memberikan tanggapan negatif kepada DBP.

DBP menegaskan bahawa kenyataan dalam hantaran Facebook tersebut bertajuk “Iban’s literature and book were burned by Dewan Bahasa dan Pustaka” adalah tidak berasas dan tidak benar.

Dalam kenyataan rasmi DBP, DBP Cawangan Sarawak telah mengambil alih fungsi dan peranan Borneo Literature Bureau (BLB) pada tahun 1977.

Semua bahan semasa pengambilalihan termasuklah buku-buku yang diterima dari BLB berjumlah 1,077 judul merangkumi 444 (BLB) dan 633 (Koleksi Sarawak, Brunei dan Sabah), masih tersimpan dan boleh dijadikan sebagai rujukan oleh penyelidik, penulis dan orang awam yang berhasrat ke Koleksi Borneo, DBP Cawangan Sarawak.

Selain itu, DBP merupakan agensi yang bertanggungjawab menerbitkan Buku Teks Bahasa Iban bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan dan telah diajar secara rasmi di sekolah-sekolah di Sarawak.

DBP Cawangan Sarawak juga akan terus menjalankan penyelidikan, pemuliharaan dan penerbitan dalam memartabatkan bahasa sukuan, sastera rakyat dan keunikan yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Hasil dapatan ini dibentangkan setiap tahun dalam Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang melibatkan penyertaan pengkaji, penggiat sastera, ahli akademik dan tokoh masyarakat di Bumi kenyalang.

DBP berharap agar kenyataan dalam Facebook tersebut tidak akan menyekat usaha DBP untuk terus melestarikan dan memulihara khazanah, keunikan dan kebudayaan masyarakat Sarawak melalui pendokumentasian dan penerbitan buku yang akan menjadi tatapan generasi pada masa hadapan.

Sebagai sebuah agensi yang diberikan amanah untuk menjaga dan memartabatkan bahasa dan persuratan, DBP melalui penyelidikan dan pendokumentasian bahasa sukuan dan cerita rakyat peribumi di Sarawak telah menerbitkan buku antaranya termasuklah Kamus Bahasa Melanau Mukah, Kamus Bahasa Iban, Kamus Bahasa Vaie dan Kamus Melayu Sarawak.

Manakala penerbitan bagi daftar kata pula antaranya termasuklah Daftar Kata Bahasa Vaie (Bahasa Melayu), Daftar Kata Bahasa Melayu (Bahasa Kedayan), Daftar Kata Bahasa Melayu (Bahasa Melanau Dalat), Daftar Kata Bahasa Melayu (Bahasa Melanau Seduan), Daftar Kata Bahasa Melayu (Bahasa Kenyah Cebup), Daftar Kata Bahasa Melayu (Bahasa Tetaw), Daftar Kata Bahasa Bakong (Bahasa Melayu) dan Daftar Kata Bahasa Narum (Bahasa Melayu).

Antara buku Sastera Rakyat Sarawak yang diterbitkan pula termasuklah Antologi cerita Rakyat Sarawak Telichu dan Telichai, Avun Hagang Batang Kayo, Kerena Dayang Petera, Nariak dan Puteri Kayangan, Buluh Perindu, Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Si Abu-Abu, Cerita Rakyat Iban dan Asap Kayu Lukai.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi