Diterbitkan pada 4 November 2024, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jumlah kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak di Malaysia meningkat sebanyak 15.2 peratus pada tahun 2023, dengan 1868 kes berbanding 1621 kes pada tahun sebelumnya. 

Statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan dalam laporan Statistik Kanak-Kanak pada tahun 2024 pada Jumaat lalu (1 November), menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa kategori jenayah seksual.

Kes rogol mencatatkan peningkatan tertinggi, dengan lonjakan sebanyak 17.5 peratus kepada 1500 kes pada tahun 2023 berbanding 1277 kes pada tahun sebelumnya.

Kesalahan lain seperti seks luar tabii juga menunjukkan peningkatan sebanyak 15.9 peratus, diikuti oleh sumbang mahram (5.5 peratus) dan gangguan seksual (2.9 peratus).

Walau bagaimanapun, kes cabul kehormatan kekal pada tahap yang sama dengan 11 kes.

Menurut Polis Diraja Malaysia, kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan turut meningkat sebanyak 26.5 peratus pada tahun 2023, mencecah 1567 kes berbanding 1239 kes pada 2022. Dalam kategori ini, kes amang seksual secara fizikal adalah yang tertinggi dengan 1389 kes, diikuti oleh kes amang seksual bukan fizikal (91 kes) dan pornografi kanak-kanak (67 kes).

Dalam statistik yang sama, jumlah kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menunjukkan peningkatan 26.1 peratus, iaitu 8536 kanak-kanak pada tahun 2023 berbanding dengan 6770 pada tahun 2022. 

Bilangan kanak-kanak perempuan yang memerlukan perlindungan adalah lebih tinggi, iaitu 5418 berbanding kanak-kanak lelaki yang berjumlah 3,118. Namun begitu, dari segi peningkatan, kanak-kanak lelaki mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi pada kadar 26.4 peratus, berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang meningkat 25.9 peratus.

Dalam masa yang sama, penerima bantuan kanak-kanak daripada JKM menurun sedikit kepada 65,670 kanak-kanak pada tahun 2023 dengan peruntukan kewangan sebanyak RM319 juta berbanding 66,660 penerima bantuan dengan peruntukan RM327 juta pada tahun sebelumnya.

Hal ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.5 peratus dari segi jumlah penerima dan penurunan 2.5 peratus dari segi jumlah bantuan kewangan berbanding dengan tahun 2022.

Sebagai rekod, statistik yang diterbitkan DOSM ini adalah sebahagian daripada usaha mengukur kualiti hidup dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia, selaras dengan konsep dan garis panduan yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). 

Statistik ini merangkumi pelbagai indikator termasuklah penduduk, kesihatan, pendidikan, perlindungan dan kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi