Diterbitkan pada 23 Oktober 2024, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya –  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memulakan rundingan awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial (Penyedia Perkhidmatan) bermula dari 22 Oktober hingga 5 November 2024.

Rundingan Awam ini adalah untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada Penyedia Perkhidmatan, orang awam, pemain industri dan pihak berkepentingan yang relevan.

Menurut kenyataan yang di keluarkan oleh Komunikasi Korporat MCMC, matlamat draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bertujuan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk rakyat Malaysia, terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan rentan yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan.

Usaha ini dilakukan susulan daripada pengenalan Kerangka Pelesenan untuk perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial. Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang dicadangkan oleh MCMC menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC amat menggalakkan penyertaan daripada Penyedia Perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan yang berminat dalam proses Rundingan Awam ini yang merupakan peluang untuk semua pihak menyumbang kepada dasar-dasar yang akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia, memastikan bahawa ruang dalam talian kekal selamat, terjamin, serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi