Diterbitkan pada 24 Oktober 2021, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dewan Masyarakat (DM), majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak September 1963, sentiasa menjadi rujukan pelajar, pembaca umum dan kebanyakan pemimpin di negara ini. Pada hari ini, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily turut memaparkan kulit DM Bil. 11/2021 pada halaman 03 akhbar tersebut.

Keratan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 24 Oktober 2021.

Kulit DM Bil. 11/2021 yang bertajuk “Timbalan Menteri Pendidikan 1: Daripada Pakar Jantung ke KPM” mengetengahkan YB Dato’ Dr. Mah Hang Soon sebagai penghias kulit majalah. Menerusi wawancara sidang editor DM bersama-sama beliau di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini, YB Dato’ Dr. Mah Hang Soon menyatakan bahawa ketika di bangku sekolah, DM banyak membantu beliau menguasai bahasa Melayu dengan baik sehingga membolehkannya mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek tersebut.

Tambah menarik lagi, YB Dato’ Dr. Mah Hang Soon turut menceritakan pengalamannya yang menjadikan budaya membaca sebagai amalan untuk berjaya.

Saya masih ingat, meskipun saya bersekolah pada sesi petang, seawal pukul 9.00 pagi saya sudah berada di sekolah. Tujuannya adalah untuk membolehkan saya ke perpustakaan dan menghabiskan masa dengan membaca. Bahan bacaan yang menjadi pilihan saya sudah semestinya majalah DM dan majalah terbitan DBP yang lain. Keadaaan ini menyebabkan ada guru yang berasa hairan dan menyangka saya sengaja tidak berada di dalam kelas, walhal saya bersekolah pada sesi petang. Usaha saya ini ternyata berbaloi, saya berjaya menguasai bahasa kebangsaan itu hingga kini,” ujarnya.

Perjalanan kerjaya  YB Dato’ Dr. Mah Hang Soon, daripada Pakar Jantung  sehingga  menjawat jawatan penting negara, iaitu sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1 dikongsikan beliau secara eksklusif dalam DM Bil. 11/2021 yang kini berada di pasaran atau boleh dibeli secara dalam talian menerusi stage.jendeladbp.my.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi