Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Samsung Malaysia, dengan kerjasama Universiti Malaya, telah melancarkan inisiatif Samsung Solve for Tomorrow yang bertujuan untuk menyemarakkan minat dan kreativiti dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Program ini berusaha mengubah persepsi bahawa STEM adalah bidang yang kompleks dan kurang menarik, sambil memperkukuh kesediaan pelajar menghadapi masa depan yang dipacu teknologi digital.
Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), enrolmen pelajar dalam bidang STEM meningkat daripada 41.84% pada 2019 kepada 50.83% pada 2024, mencatatkan pertumbuhan yang ketara. Perkembangan ini menandakan pendaftaran tertinggi dalam dekad yang lalu, menunjukkan bahawa pelajar semakin terbuka menerima cabaran pembelajaran STEM.
Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, YBrs. Ir. Dr. Mas Sahidayana Mokhtar, menekankan bahawa pertandingan Samsung Solve for Tomorrow berasaskan pemikiran reka bentuk ini bertujuan untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih relevan dan menyeronokkan.
“Program ini menggalakkan pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah dunia sebenar bagi membolehkan pelajar menerapkan pengetahuan mereka untuk mencetuskan perubahan positif dalam komuniti.”
Program ini menyediakan peluang kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 3 untuk bekerjasama dengan pengamal industri, memberikan mereka pandangan mendalam dan kemahiran yang berguna di luar persekitaran bilik darjah. Dengan fokus kepada aplikasi praktikal, pertandingan ini merapatkan jurang antara pembelajaran teori dan realiti dunia pekerjaan.
Melalui Samsung Solve for Tomorrow, Samsung menyokong usaha negara mencapai nisbah 60:40 pelajar sains kepada seni dengan harapan untuk memperkasakan generasi muda untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi. Hal ini demikian kerana terdapat permintaan untuk pekerjaan berkaitan STEM seperti pakar kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan awan (cloud engineer) dan penganalisis data besar dijangka meningkat pada masa hadapan, seiring dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi melalui tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Samsung Malaysia dan Universiti Malaya berhasrat untuk memastikan pelajar Malaysia terus cemerlang di arena global, memperkasakan negara dalam kemajuan teknologi serta membentuk masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.