Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 20:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Penganjuran program Majalah dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa menyemarakkan lagi sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, tengah hari tadi.

Program MDK tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang melibatkan sebanyak 60 orang pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh sebagai satu daripada usaha bagi membantu mempromosikan majalah demi pembudayaan ilmu dan kepentingan pendidikan.

Program yang berlangsung selama tiga jam itu turut memberikan pendedahan kepada para pelajar berkaitan dengan produk dan perkhidmatan DBP seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu, JendelaDBP dan DBP Niaga, di samping pengenalan kepada majalah terbitan DBP.

Menerusi program tersebut, para pelajar diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mereka di tempat menarik yang pernah dikunjungi oleh mereka di dalam negara semasa sesi berkaitan dengan ruangan tempat menarik dalam majalah Dewan Siswa yang terdiri daripada dua kategori, iaitu “Tanah Airku” yang memfokuskan lokasi menarik dalam negara serta “Rakaman Pengembara” yang mempersembahkan destinasi menarik di luar negara.

Para pelajar menunjukkan pilihan jawapan mereka semasa menjawab soalan kuiz menara belon.

Kandungan majalah Dewan Siswa menerusi ruangan “Minda Remaja”, “Puisi Siswa” dan “Cerpen Siswa” turut disampaikan oleh editor, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman untuk memberikan peluang kepada pelajar yang terlibat mengetengahkan bakat dan potensi terpendam mereka dalam penulisan karya berbahasa Melayu.

Para pelajar menunjukkan kesungguhan mereka dalam aktiviti berkumpulan yang dijalankan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti secara berkumpulan dijalankan sepanjang program tersebut, iaitu aktiviti menukarkan rencana kepada pantun, meneruskan cerpen, menukarkan cerpen kepada sajak, menukarkan komik kepada cerpen dan kuiz menara belon.

Sesi pembentangan oleh para pelajar semasa aktiviti berkumpulan yang turut disaksikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Para pelajar turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh pihak penganjur kerana pelbagai hadiah menarik disediakan atas usaha dan komitmen yang diberikan.

Sesi penyampaian hadiah oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar kepada kumpulan pelajar yang mendapat jumlah markah yang tinggi dalam aktiviti yang dilaksanakan.

Program MDK mula dilaksanakan pada tahun 1989 oleh Bahagian Majalah dan Bahagian Perniagaan DBP, bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu, khasnya dalam usaha mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan pengajaran serta pembelajaran di sekolah.

Pelaksanaan program tersebut masih diteruskan hingga kini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu daripada budaya hidup.

Secara dasarnya, program tersebut diadakan bertujuan untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar dan guru selain mengasah serta memperkembang bakat dan potensi diri pelajar dalam bidang penulisan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi