Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni, Seberang Ramai Kuala Perlis, hari ini.

Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Tengku Muhammad Ismail turut berkenan menyaksikan keindahan kawasan berkenaan dengan melawati beberapa lokasi utama yang menjadi tumpuan di sekitar kampung tersebut termasuklah Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Rumah Sihat.

Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin sedang mengambil laksa diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda turut dipersembah maklumkan taklimat mengenai pelaksanaan program transformasi Kampung Warna-Warni yang telah dilaksanakan bermula tahun 2020 oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Agensi-agensi Negeri dan Persekutuan; pihak swasta serta orang ramai.

Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin menaiki beca bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melawat keliling kampung.

Pada kesempatan tersebut,  Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail turut berkenan berangkat ke ‘Rumah Terengganu’ dan menandatangani plak lawatan.

Di akhir sesi, baginda dipersembahkan tengkolok “Putra Julang Darjat” daripada pihak MAIPs yang merupakan tengkolok rasmi kebanggaan negeri Perlis yang menjadi adat memuliakan tetamu kenamaan sebelum berangkat pulang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi