Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius berkenaan dengan satu laporan media baru-baru ini yang mengaitkan guru sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC).
“Dakwaan ini adalah tidak bertanggungjawab dan memberikan persepsi negatif terhadap profesion keguruan. Pada masa ini, terdapat lebih 400,000 orang guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti,” demikian menurut kenyataan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.
Isu ini tidak sepatutnya berbangkit. Tatakelola penjawat awam sentiasa diberikan perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.
Menurut beliau, Kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam. Pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.
Kerajaan menghargai peranan penting guru dalam usaha membangunkan negara. Sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada bulan Ogos lalu. KPM juga telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuklah menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru.
KPM tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan.Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat.