Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 3 Oktober 2024, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaksanakan program pendidikan yang dirangka secara khusus untuk kanak-kanak rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang kini sedang mendapat perlindungan pihak berkuasa bermula 1 Oktober 2024.

Program pendidikan tersebut melibatkan sebanyak 68 orang guru KPM secara langsung bertujuan untuk memberikan akses pendidikan yang formal dan berstruktur kepada kanak-kanak berkenaan bagi mengelakkan keciciran pembelajaran.

Hal ini selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi dan KPM komited dalam usaha memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program tersebut menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.

Jelas KPM, kit tersebut memberikan penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri dan seterusnya sebagai persediaan holistik termasuklah penguasaan literasi dan numerasi.

Selain itu, modul yang digunakan turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri serta memupuk keseimbangan kanak-kanak ini dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek (JERSI) sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi