Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 26 September 2024, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Demi memupuk kesedaran warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap nilai integriti dan usaha pengukuhannya dalam sektor awam, KPM menerusi Unit Integriti menganjurkan Kuliah Integriti Siri 5 Tahun 2024 melalui platform YouTube, semalam.

Program kuliah tersebut yang bertajuk “Bukan Saja-saja Ada” menampilkan Penguasa Kanan, Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, YBrs. Tuan Nik Mohd Sukiman Nik Yusof sebagai penceramah.

Dalam perkongsiannya, beliau berkata,

Jika kita memahami konsep pengasingan kuasa dalam perlembagaan, bidang kuasa  SPRM yang diwujudkan adalah menyiasat laporan-laporan berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa menerusi penyediaan kertas siasatan untuk dihantar kepada Peguam Negara.

Ujar beliau, Garis Panduan Pengiktirafan kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan adalah sebagai galakan untuk menggerakkan keberanian masyarakat melawan rasuah.

Pada masa yang sama, beliau turut menyebut sebanyak 45 orang penjawat awam telah dinilai oleh SPRM dalam Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 13 Bil. 1 Tahun 2024 baru-baru ini sebagai bukti komitmen SPRM menghargai dan memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan perbuatan rasuah.

Jelas beliau lagi,

Kita perlu ingat, ganjaran atau pengiktirafan bukanlah tujuan utama dalam perjuangan membasmi rasuah tetapi tanggungjawab moral dan komitmen kita lebih penting untuk menegakkan integriti dan keadilan demi masa depan yang bersih.

Sikap patriotisme perlu diterapkan dalam setiap diri penjawat awam untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak yang sepatutnya, iaitu SPRM kerana semangat kekitaan dan kebersamaan mampu mencegah kemungkaran menerusi ruang lingkup yang ada.

Justeru, undang-undang diwujudkan bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi bertujuan untuk memelihara dan memberikan kebaikan kepada semua walaupun terdapat cabaran untuk mematuhinya dengan sebaik mungkin.

Tambah beliau, integriti berkaitan rapat dengan konsep ihsan dalam agama Islam, iaitu melakukan sesuatu perkara yang betul walaupun tiada orang melihat kerana mempunyai jati diri dan keimanan yang kuat untuk tidak melakukan perbuatan yang melanggar peraturan.

Pengambilan dan penerimaan rasuah berlaku disebabkan tiga faktor, iaitu keperluan (need), ketamakan (greed) dan peluang (opportunity), maka pertahanan diri menjadi benteng bagi mengekang perkara tersebut.

Oleh itu, ketagihan perbuatan rasuah sebenarnya bermula dalam diri apabila mentaliti mengatakan rasuah sebagai punca rezeki, di samping faktor persekitaran hanya memainkan peranan kecil untuk menyokong kesalahan tersebut.

Beliau turut berpesan bahawa setiap individu perlu berusaha meningkatkan integriti pada diri sendiri dan orang lain yang berada di bawah tanggungjawabnya untuk kelangsungan kehidupan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi