Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Karang – Program Duta Guru (PDG) kini memasuki Kohort 6 dengan sasaran penyertaan lebih 1,020 orang guru. Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Puan Shariah Nelly Francis dalam ucapannya pada majlis perasmiannya di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, Selangor.
Memasuki tahun keenam, program ini telah memberikan sokongan kepada lebih 1,394 guru dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dari 145 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara. Setakat ini, sebanyak 499 guru dari Kohort 1 hingga Kohort 3 telah berjaya menamatkan program ini dan dianugerahkan gelaran “Duta Guru.”
Yayasan Petronas, melalui Program Duta Guru yang dilancarkan bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), turut memperkenalkan Hab STEM, yang bertujuan untuk memperkasakan pendekatan pembelajaran dalam bidang STEM dan Geografi. Majlis pelancaran Hab STEM di Tanjong Karang telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pada pagi tadi.

Hab STEM ini merupakan satu inisiatif yang menyediakan ruang bagi komuniti guru untuk bekerjasama dalam memastikan pelaksanaan kurikulum STEM yang lebih mantap dan relevan dengan keperluan semasa. Dengan dilengkapi teknologi dan alat bantu mengajar terkini, hal tersebut dijangka menyokong pembelajaran STEM untuk jangka masa panjang.
Tahun ini, Hab STEM dibangunkan di tiga lokasi utama: PKG Tanjong Karang, Selangor; PKG Bukit Besar, Terengganu dan PKG Miri, Sarawak.
Menurut Shariah Nelly, “Hab STEM ini bertujuan menyediakan kemudahan kepada guru, khususnya Duta Guru, dalam menyampaikan kurikulum STEM yang berkesan dengan sokongan peralatan bantu mengajar dan program latihan bagi meningkatkan produktiviti mereka.”
Beliau turut berharap agar para guru menggunakan kemudahan ini secara optimum untuk memperkasakan pendidikan STEM di Malaysia.
Para pendidik yang terlibat dalam program ini dibekalkan dengan ilmu dan latihan untuk memperkukuhkan peranan mereka untuk meningkatkan minat dan kecekapan murid dalam bidang pendidikan STEM serta memperkukuhkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mereka menjelang tahun 2030 demi membentuk generasi pemimpin masa hadapan yang bersemangat dalam inovasi dan mempunyai sifat ingin tahu.
Program ini juga, ujar Shariah Nelly, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan bilangan pelajar yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang STEM dan memperkukuhkan pendidikan STEM bagi membangunkan bakat-bakat yang dinamik di masa hadapan.
Program Duta Guru yang dilancarkan pada 2019 ini merupakan kerjasama Yayasan Petronas dan KPM melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, bersama-sama rakan pelaksana seperti Teach For Malaysia dan Petrosains. Program ini bertujuan memperkukuhkan kemahiran 4,500 guru dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi subjek STEM menjelang tahun 2030.

Selain meningkatkan kecekapan guru, PDG juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk memperkukuhkan pendidikan STEM dan melahirkan bakat dinamik pada masa hadapan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Encik Zainal Abas; Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad; dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, YBrs. Dr. Jafri Abu.
Dengan pembentukan Persatuan Duta Guru yang kini berjumlah 499 orang, peranan mereka dalam menyokong ekosistem pendidikan STEM dilihat penting untuk memastikan impak yang mampan terhadap pelajar serta pendidikan negara secara keseluruhannya.
Pendaftaran untuk Kohort 6 masih dibuka hingga 30 September ini.