Diterbitkan pada 21 September 2024, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Singapura – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu terus mengorak langkah bagi memperluaskan jaringan kerjasama dan menjalinkan hubungan dengan universiti-universiti awam dan swasta di Singapura.

Antara kerjasama dan potensi yang boleh diwujudkan termasuklah dalam bidang biasiswa dan latihan, penyelidikan dan pembangunan, pertukaran pelajar dan beberapa program lain lagi.

UniMAP juga wajar meneroka potensi kerjasama dengan pemain industri untuk meningkatkan kemahiran praktikal mereka dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran pelajar-pelajar UniMAP sebagai persediaan yang mesra industri.

Dalam konteks ini, UniMAP dan institusi pengajian tinggi serta kemahiran lain di Perlis boleh mengambil peluang ini lantas dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha membangunkan ekosistem ekonomi digital dan ekonomi hijau yang mapan.

Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar selepas menghadiri makan tengah hari bersama-sama delegasi UniMAP ke program International Leadership Mobility 2024 di Rumah Makan Minang, Kandahar Street, Singapura, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut adalah bersempena lawatan kerja delegasi UniMAP yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut diiringi oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Baginda yang juga merangkap Canselor menzahirkan agar UniMAP perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menjalinkan hubungan dengan pusat-pusat pengajian tinggi di Singapura.

Dalam titahnya, baginda menyatakan bahawa universiti-universiti di Singapura merupakan antara institusi pendidikan yang terbaik pada peringkat global dan perkara ini amat baik untuk merapatkan jurang pendidikan mahupun kedudukan UniMAP pada peringkat Malaysia dan juga antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Naib Canselor UniMAP mengadakan pertemuan dengan Assistant Director (Asia Desk) International Office dari Singapore Management University (SMU) Lim Tau Wee yang diaturkan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sebagai perbincangan awal untuk meneroka peluang kerjasama bersama.

Ketika di Singapura delegasi ini turut mengadakan kunjungan ke National University of Singapore (NUS) dan Singapore University of Social Sciences (SUSS).

Kredit Foto: Istana Arau
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi