Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kunjungan hormat delegasi dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Putrajaya pada 6 September 2024 memperkukuh hubungan antara kedua-dua agensi serta membincangkan peluang kerjasama dalam program yang akan datang.
YBhg. Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan hubungan yang erat antara agensi untuk mencapai matlamat bersama dalam pembangunan negara.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan sokongan penuh kepada DBP dan memastikan JBG menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam perkhidmatan penyampaian agensinya.
YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, dalam ucapannya pula menawarkan produk dan perkhidmatan DBP kepada agensi JBG seperti membantu dalam penyemakan penggunaan bahasa Melayu dengan betul dalam penulisan laporan atau dokumen, serta memperkenalkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan Jendela DBP.
Di akhir kunjungan, DBP turut mempelawa JBG untuk membuka reruai pameran bersempena dengan Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan yang akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri pada 6 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Perak.
JBG turut bersedia memberikan perkhidmatan seperti van bergerak klinik guaman bagi menyambut baik Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan agar dapat memberikan perkhidmatan bantuan guaman untuk masyarakat dengan mengangkat cogan kata “Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni”.
YBhg. Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi melahirkan harapan agar kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang untuk kedua-dua agensi dan memberikan impak positif kepada masyarakat terutamanya dalam memperkasa bahasa dan sastera, khususnya dalam bidang undang-undang.
Untuk rekod, Jabatan Bantuan Guaman merupakan jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memberikan khidmat nasihat guaman dalam semua perkara undang-undang serta mewakili atau memberikan bantuan guaman dalam prosiding di semua mahkamah dalam bidang kuasa jenayah dan bidang kuasa sivil serta syariah.