Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 31 Ogos 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis

Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis Perasmian Penutupan Bengkel ke Arah Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) untuk Pelajar Terbaik, Cemerlang dan Pengawas Terpilih di Negeri Perlis 2024 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang.

Pulau Pinang – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, potensi kepimpinan individu perlu dilatih dan digilap sejak peringkat sekolah bagi melahirkan barisan pemimpin yang bakal menggalas tugasan serta tanggungjawab yang besar pada masa hadapan.

Baginda bertitah, usaha ini bagi melahirkan generasi kepimpinan dalam kalangan anak Perlis yang kompetitif dan unggul.

Perkara tersebut selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk mengembangkan lagi potensi individu dengan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Sempena bulan kemerdekaan dengan tema ‘Jiwa Merdeka’, maka saya menyeru para peserta untuk menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai aspek pemikiran, integrasi, sosial dan ekonomi.

“Seterusnya membentuk satu penyatuan rakyat yang kukuh, harmoni dan progresif bagi melambangkan kesejahteraan secara holistik,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis Perasmian Penutupan Bengkel ke Arah Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) untuk Pelajar Terbaik, Cemerlang dan Pengawas Terpilih di Negeri Perlis 2024 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Bengkel ini ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat dan dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sebanyak 101 orang pelajar tingkatan empat yang mewakili 30 buah sekolah menengah di Perlis terlibat dalam bengkel selama tiga hari bermula pada 27 Ogos hingga 29 Ogos 2024.

Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik sepanjang bengkel ini berlangsung termasuklah perkongsian dan aktiviti kumpulan yang berkaitan dengan tema Kualiti Kepimpinan, Kerja Berkumpulan Kepimpinan, Nilai-nilai Murni Rakyat Malaysia, Kefahaman Perlembagaan dan Pemerintahan Negara Malaysia, Improve Your English dan Forum ke Arah Masa Depan Kerjaya yang Cemerlang.

Antara objektif perkongsian tersebut adalah untuk mengaplikasikan kemahiran pembelajaran pelajar dan sahsiah pelajar serta mencungkil bakat kepimpinan dan semangat kerjasama berpasukan terutamanya para pelajar bagi memajukan Perlis pada masa akan datang.

Para peserta juga berpeluang menjalani aktiviti riadah suai kenal di tepi pantai, serta aktiviti Island Tour di sekitar Pulau Pinang dengan menaiki feri bagi mengenali Pulau Mutiara ini dengan lebih dekat yang ditaja oleh Penang Port Sdn. Bhd.

Pada masa yang sama, Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan agar penganjuran bengkel seumpama ini dapat membantu melonjakkan kecemerlangan dan kemenjadian murid di Perlis.

Baginda berharap agar para peserta membawa pulang ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat dan kongsikan bersama-sama rakan di sekolah masing-masing.

Turut hadir sama ialah Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan penyelaras dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi