Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat mengetuai Kayuhan Mega Peduli Merdeka yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar pada pagi tadi (26 Ogos 2024).
Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs turut diiringi oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Ariffin serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri Perlis.
Kayuhan amal ini bertujuan untuk mengenal pasti golongan yang kurang bernasib baik, menyelami masalah dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mencari penyelesaian yang lebih baik dengan mengeluarkan golongan asnaf ini daripada lingkaran kemiskinan.
Bersempena dengan program ini, Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan untuk menyerahkan sumbangan daripada MAIPs kepada asnaf yang terpilih iaitu Nur Mohamad Asraf Mohamad Sukri, 13 tahun dan Muiz Jabal Abdul Halim (11) dari Kampung Bakau, dan Mohd Syazwan Aiman Mohd Shafie (14) dari Kampung Padang Behor.

Anak-anak ini menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang, bantuan Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi mengurangkan beban serta menampung keperluan harian keluarga mereka.
Baginda kemudiannya berkenan mengadakan lawatan ke tapak pembinaan bangunan baharu Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang sedang dibangunkan di Guar Syed Alwi.
Projek pembinaan ini telah siap sebanyak 69.85 peratus setakat bulan Ogos 2024 yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan yang merangkumi blok pentadbiran, dewan serba guna, surau dan beberapa fasilitet utama yang lain.
Tuanku Pemangku Raja turut meluangkan masa berkunjung ke Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), yang terletak di Lorong Seruling, Jalan Raja Syed Alwi.
FCoEE telah melaksanakan sebanyak 43 program berimpak tinggi yang melibatkan pelajar dan golongan asnaf. Antara program yang telah dilaksanakan termasuklah memperkasakan pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), melaksanakan Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar serta beberapa program pendidikan dan kemahiran lain.
Dua persinggahan terakhir baginda ialah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Perlis dan VRO Techno Hub, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.