Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, telah berkenan mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan dan Pengurniaan Watikah Tauliah kepada Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tahun 2024.
Dalam isitiadat tersebut, sebanyak 664 orang Pegawai Kadet ATM, telah berjaya menamatkan latihan dan diberikan pentauliahan serta pengurniaan watikah tauliah yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD).
Sewaktu istiadat berlangsung, baginda bertitah kepada semua pegawai ATM agar menghindari amalan rasuah dan mengutamakan nilai amanah terutamanya berkaitan dengan pembelian peralatan, kontrak kerajaan serta pembinaan kemudahan tentera.
Setelah itu, YDPA menyampaikan Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik dari empat (4) Kolej Perkhidmatan, iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK-UPNM), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI I), dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP).
Selain itu, kejayaan pasangan kembar berasal dari Ketereh, Kelantan,yakni LT M Putera Mirzan Em Arheef dan LT M Putera Mirzan Em Aqheel, alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut mewarnai majlis istiadat.
Istiadat telah diiringi oleh gabungan pancaragam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebelum itu, ketibaan baginda disambut oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, bersama-sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, sekali gus menerima tabik hormat dan memeriksa kontinjen perbarisan.

Turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain.
Upacara perbarisan diakhiri dengan tiga laungan “Daulat Tuanku” sebelum Baginda berangkat meninggalkan istiadat.