Diterbitkan pada 19 Ogos 2024, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Bagan Datuk – Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 dengan tema “Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama dalam Budaya Damai menerusi Gagasan MADANI” terus disebarluaskan dalam menghargai sumbangan dan pemikiran kritis tokoh dalam dunia persuratan Melayu tanah air, iaitu Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (BPI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH), Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, Perak, hari ini.

Menerusi ucap utama seminar oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), beliau membahaskan perihal pemikiran Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang unik tentang pembinaan negara bangsa yang berakar daripada konsep “karamatul insan” atau kemuliaan insan sebagai sebuah perihal penting untuk dibincangkan dari bingkai kaca mata Islam.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dalam sesi ucap tama Seminar Fikrah Siddiq Fadzil.

Menurutnya lagi, Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil memberikan penekanan tentang Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai bangsa, agama dan budaya tetapi pada masa yang sama akur kepada nilai kebersamaan dan penerapan nilai ihsan yang turut terpakai dalam konteks masyarakat MADANI dalam tampuk pemerintahan sekarang.

Istilah yang terbaik yang digunakan hari ini yang sesuai dengan kehendak Islam ialah konsep ‘co-citizen’, iaitu rakyat yang dapat sama-sama tinggal dalam sebuah negara walaupun terdiri daripada berlainan agama, bangsa, budaya, warna kulit tetapi mereka adalah sama dari segi hak dan diberi keadilan sebaik-baiknya.

Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty mengakhiri ucap tamanya dengan menegaskan tentang peri pentingnya mengukuhkan idealisme pendidikan perlembagaan dan kerukunan bangsa dalam menjayakan gagasan masyarakat Malaysia MADANI. Beliau juga berharap agar karya-karya Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dapat diantarabangsakan pada masa akan datang.

Pembentangan kertas kerja oleh YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden WADAH  dengan tajuk “Model Budaya Damai di Malaysia” pula mengutarakan tujuh gagasan oleh Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang menjadi tunjang kepada intipati agenda Malaysia MADANI yang menggarap kekuatan semua pihak dalam menjamin kesejahteraan setiap warga Malaysia, dan umat keseluruhannya.

Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman berkongsi tentang negara MADANI yang merupakan cita-cita lslamiyyah yang telah mencipta transformasi sosial yang mewujudkan tata sosial baharu dan sistem kenegaraan yang menjulang martabat insan.

Antara tujuh gagasan tersebut termasuklah pewarisan pemikiran, retrospeksi identiti, Manhaj Maliziy (Mendefinisi Lanskap Dakwah Malaysia), Fiqh Ta’ayush Al-Silmi (Hidup Bersama dalam Budaya Damai), Pendidikan Al-Hikmah, Transformasi Generasi Muda dan Pemikiran Madani.

Menerusi tema “Gagasan Pendidikan Damai: Harapan dan Cabaran” pula, Encik Amidi Dato’ Abd Manan selaku moderator bagi slot pembentangan ketiga bersama-sama dengan dua orang panel, iaitu Dato Dr. Khairuddin Aman Razali, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia dan Dr. Roslan Husin, mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan membincangkan sudut pandang Profesor Dato Dr. Siddiq Fadzil dalam membentuk gagasan pendidikan baharu.

Dari kiri: Dato Dr. Khairuddin Aman Razali, Encik Amidi Dato’ Abd Manan dan Dr. Roslan Husin dalam slot pembentangan ketiga “Gagasan Pendidikan Damai: Harapan dan Cabaran”.

Transformasi daripada politik konfrontasi kepada politik diplomasi melalui Manhaj Maliziy merupakan gagasan pendidikan baharu dengan tiga prinsip utamanya dalam pembentukan karakter masa depan negara, iaitu kekuatan agama, asas jati diri yang kukuh dan berasaskan realiti semasa disifatkan tetap relevan sepanjang masa.

Menurut Dr. Roslan Husin:

Legasi pendidikan Dato Dr. Siddiq fadzil memberikan tumpuan kepada proses pembinaan insan dan sesungguhnya kita mesti berupaya dan mempunyai citra baharu dalam membina generasi baharu yang tidak mewarisi prasangka buruk, sifat kebencian dan sebagainya dalam memastikan perpaduan terus kekal selamanya.

Majlis perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 1 dan juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum sesi pembentangan kertas kerja.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi