Diterbitkan pada 13 Ogos 2024, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur – Seorang penjawat awam badan berkanun seharusnya sentiasa memperkasa nilai integriti diri, sentiasa peka serta memahami peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan terutamanya yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Demikian petikan ceramah oleh Puan Siti Zakiah Che Man, Ketua Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Ceramah Bersasar Siri 3: Rasuah dan Salah Guna Kuasa dalam Kalangan Penjawat Badan Berkanun yang diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, pagi ini.

Ceramah integriti ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Unit Integriti bertujuan mempertingkat kepekaan dan kefahaman terhadap peraturan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat badan berkanun dan merupakan sebahagian daripada agenda Pelan Antirasuah DBP 2021-2025.

Puan Siti Zakiah dalam sesi Ceramah Bersasar Siri 3: Rasuah dan Salah Guna Kuasa dalam Kalangan Penjawat Badan Berkanun.

Dalam sesi ceramahnya, Puan Siti Zakiah menyatakan bahawa penjawat awam badan berkanun seharusnya menjadikan Akta 605 Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 sebagai panduan dan rujukan utama bagi memahami dengan lebih mendalam urusan tata kelola dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagai penjawat awam badan berkanun.

Berkongsi pengalaman beliau selama hampir 20 tahun di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini di KPM, Puan Siti Zakiah turut berkongsi pelbagai kisah dan sorotan kes sebagai input signifikan dalam menyuntik kesedaran tentang bahana rasuah dalam kalangan penjawat badan berkanun.

Jika tuan/puan terlibat kes rasuah, didapati salah, kena sabit, saya bagi jaminan (tuan/puan) akan dibuang kerja. Jadi fikir implikasinya, berbaloi atau tak berbaloi, fikir ahli keluarga.

Apabila anda berani buat, maksudnya anda telah berani ambil risiko-pilihan anda sendiri.

Perkongsian pelbagai maklumat oleh Puan Siti Zakiah dapat dijadikan sebagai panduan oleh karyawan DBP.

Beliau turut menerangkan bahawa rasuah boleh merangkumi pelbagai bentuk termasuklah dalam bentuk wang, upah, hadiah, jawatan, bonus, diskaun dan perkhidmatan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 merangkumi cabaran tata kelola yang berkaitan dengan meminta atau menerima rasuah, menawar dan memberi rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa oleh pegawai badan awam.

Mengakhiri ceramah beliau, Puan Siti Zakiah menyeru karyawan DBP supaya menanamkan rasa kasih pada organisasi dan memikirkan implikasi yang akan timbul sekiranya terlibat dalam jenayah rasuah.

Organisasi ini merupakan tempat kita bekerja, mencari rezeki. Selain pahala, di sinilah tempat kita bekerja dan memberikan makan kepada anak-anak kita.”

“Sayangi organisasi kita, jaga dari segi tata kelolanya, jatuh bangunnya tempat kita cari rezeki beri impak kepada kita

Puan Siti Zakiah menerima cenderamata yang disampaikan oleh Tuan Haji Johari Md Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, diiringi oleh Tuan Haji Hamidi Baharom, Ketua Unit Integriti DBP.

Turut hadir dalam sesi ceramah tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP,  Tuan Haji Md Johari Hasan; Pengarah Penerbitan DBP, Encik M. Azahari Edin, Ketua Unit Integriti DBP, Tuan Haji Hamidi Baharom, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, pegawai kanan serta karyawan DBP daripada pelbagai bahagian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi