Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mantan Pengarah Perancangan dan Pembangunan Korporat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman meninggal dunia di Hospital Serdang, malam semalam.
Jenazah Allahyarhamah Tan Sri Dr. Siti Zaharah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, pukul 11.30 pagi tadi.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.
“Takziah kepada keluarga mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang dilaporkan telah meninggal dunia malam tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, petang tadi.
Beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai pemimpin yang cekap, komited dan gigih dalam perjuangan.
“Saya turut berduka dan mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan selain diampunkan segala dosa almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” ujarnya.
Allahyarhamah Tan Sri Dr. Siti Zaharah yang dilahirkan pada 24 April 1949 pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perancangan dan Pembangunan Korporat DBP sejak tahun 1980 hingga tahun 1986.
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan, antaranya termasuklah Timbalan Menteri Kesihatan dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.
Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak dan 12 orang cucu.