Diterbitkan pada 14 Julai 2024, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Kepentingan penjagaan kesihatan mental perlu diberikan perhatian serius oleh semua rakyat Malaysia khususnya rakyat di Perlis.

Setiap individu perlu cakna mengenai tahap kesihatan mental diri sendiri dan orang sekeliling, sama ada ahli keluarga tersayang, rakan sekerja atau masyarakat.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra sewaktu bertitah dalam Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat: Sihat Milik Semua bersama-sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Segeralah mendapatkan rawatan yang sewajarnya sekiranya bergejala bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan merasmikan program jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat: Sihat Milik Semua di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kangar.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semasa penerangan sewaktu melawat klinik kesihatan.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, gaya hidup aktif dan pemakanan sihat perlu dijadikan amalan bagi meningkatkan ketahanan badan dalam mencegah penyakit dan rakyat Perlis disarankan supaya memanfaatkan segala kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang disediakan demi meningkatkan kualiti kesihatan dan kesejahteraan diri masing-masing.

Banyak tempat-tempat riadah yang menenangkan di sekitar negeri Perlis ini. Bawalah keluarga untuk sama-sama beriadah demi kesihatan bersama. Amalan gaya hidup sihat sebenarnya dapat meningkatkan imuniti badan kita secara semula jadi.

Baginda juga bertitah dengan menyeru rakyat untuk memberikan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mencapai matlamat mewujudkan kelestarian tahap kesihatan masyarakat secara menyeluruh.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra diberikan penerangan tentang alatan yang digunakan di bilik x-ray klinik kesihatan.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan tiga klinik kesihatan baharu yang telah siap di Perlis,iaitu Klinik Kesihatan Kampung Gial yang telah beroperasi pada 2 Okt 2020, Klinik Kesihatan Pauh (beroperasi pada 27 Mac 2023) dan Klinik Kesihatan Padang Besar (beroperasi pada 25 September 2023).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi