Diterbitkan pada 5 Julai 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tertarik melihat perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada masyarakat setempat di Our Tampines Hub di 1 Tampines Walk, Singapura, baru-baru ini.

Dalam kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), lawatan kerja yang diketuai oleh DYMM Pemangku Raja Perlis diadakan ke negara tersebut bermula 2 hingga 4 Julai 2024.

Keberangkatan baginda dan delegasi daripada Jawatankuasa Kewangan MAIPs turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan disambut oleh Pengurus Besar Our Tampines Hub, Noriman Ali Salam bersama-sama Timbalan Pengurus Besarnya, Patrick Ang.

Kata MAIPs,

Our Tampines Hub dibina sebagai sebuah kompleks komuniti dan gaya hidup bersepadu pertama di Singapura yang terletak di kawasan Tampines.

Kompleks ini juga merupakan sebahagian daripada projek pembangunan komprehensif Pusat Daerah Tampines.

Tambah lagi,

Hab ini juga berfungsi sebagai Pusat Sehenti Perkhidmatan Awam dan One-Stop Government yang turut menawarkan pelbagai kemudahan, termasuklah program bersepadu daripada pelbagai penyewa bagi menganjurkan sebarang aktiviti berskala besar dan kemudahan yang serba guna, seperti Town Square, Eco Garden dan Wellness Centre.

Baginda telah dipersembahmaklumkan oleh Noriman dan Ang berkaitan dengan latar belakang dan fungsi hab tersebut dan berkenan untuk mengadakan lawatan ke Town Square, Community Auditorium, kolam renang dan gimnasium, selain trek larian berbumbung.

Selain itu, pusat sehenti juga merupakan tuan rumah bagi kelab bola sepak, iaitu Tampines Rovers FC (1945) dan Geylang International Football Club (1974) yang boleh memuatkan kapasiti 5000 penonton.

Tuanku Pemangku Raja berangkat ke Our Tampines Hub sejurus selepas berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi disambut oleh Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar dan Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura, Ustaz Muhammad Azri Azman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi