Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pauh Putra – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan golongan muda agar meningkatkan pembangunan minda menerusi pendidikan yang kualiti dan komprehensif.
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pembacaan dan literasi dalam kalangan kanak-kanak dan membangunkan norma dan pemikiran bagi membentuk minda golongan muda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Program Jom Kita Bincang bersempena dengan Majlis Syarahan Umum oleh Duta Besar Sweden ke Malaysia, TYT Dr. Joachim Bergstrom yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Duta Besar Sweden ke Malaysia, TYT HE Dr. Joachim Bergstrom dan Pegawai Politik Kedutaan Sweden, Lova Von Beckerath.
Baginda bertitah,
Kita sering kali menyatakan bahawa kanak-kanak adalah masa depan negara, maka semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan bertanggungjawab untuk membentuk anak-anak ini bermula dari sekarang.
Pemimpin masa depan kelak ini perlu mendapat pendedahan dan dilengkapi dengan ilmu untuk memacu negara ini pada suatu hari nanti.
Penganjuran majlis syarahan umum ini adalah kerjasama antara UniMAP dengan Kedutaan Sweden di Malaysia dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Menurut penganjur, program tersebut merupakan inisiatif Duta Sweden di Malaysia, Dr. Joachim Bergstrom yang membincangkan isu kemapanan, kesihatan dan sosial menerusi kesusasteraan kanak-kanak.
Program ini berbentuk forum dan berteraskan tanggungjawab untuk memelihara dan menyampaikan ilmu serta memberi inspirasi kepada golongan muda untuk membaca.
Tuanku Canselor UniMAP itu menzahirkan rasa suka cita atas penganjuran program seperti ini di Perlis yang menggalakkan komunikasi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak bagi membendung masalah minat membaca di kalangan kanak-kanak dan belia yang semakin berkurangan.