Diterbitkan pada 1 Jun 2024, 21:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salah’uddin Abdul Aziz Shah Al-Haj mencemar duli melawat reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada petang tadi.

Ketibaan Tengku Laksamana Selangor yang diiringi oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur disambut oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa serta pegawai DBP yang bertugas di reruai tersebut.

Kamus Dewan Perdana merupakan antara produk penerbitan DBP yang mendapat perhatian Tengku Laksamana Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salah’uddin Abdul Aziz Shah Al-Haj di reruai DBP yang bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, pada petang tadi.

Dalam kunjungan itu, Tengku Laksamana Selangor berkenan meninjau ruang pameran dan jualan produk terbitan DBP yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.

Tengku Laksamana Selangor juga berkenan mendapatkan beberapa produk terbitan DBP seperti buku Siri Sejarah Nusantara: Sejarah Selangor Edisi Semakan, Sirajul Muluk: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di Bawah Naungan Tiga Putera Jamalullail, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis, Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua dan Kamus Dewan Perdana.

Tengku Laksamana Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salah’uddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan meninjau ruang pameran dan jualan produk penerbitan DBP.
Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (tiga dari kiri) yang hadir untuk Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi Bunga Kata turut mengambil kesempatan bergambar bersama-sama Tengku Laksamana Selangor.

Sebelum berangkat dari reruai DBP, Ketua Pengarah DBP berkesempatan menyampaikan cenderamata sebagai kenang-kenangan kepada Tengku Laksamana Selangor, iaitu buku Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758 terbitan DBP yang disunting oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari menyampaikan cenderamata buku Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758  kepada Tengku Laksamana Selangor.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi