Diterbitkan pada 29 Mei 2024, 21:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – “Dana yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digunakan sepenuhnya untuk membangunkan industri perbukuan yang memberikan keutamaan kepada penerbit dan pencetak bumiputera, juga secara terbuka.”

Demikian menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP menerusi Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan dengan temanya yang bertajuk “Dukungan Kerajaan dalam Pembangunan Industri Perbukuan”.

Menurut beliau lagi, daripada keseluruhan perbelanjaan DBP, 80 peratus dibelanjakan untuk penerbitan buku dan 20 peratus lagi untuk pelbagai kegiatan DBP yang mendukung aspek pemerkasaan bahasa Melayu sebagai tunjang penubuhan DBP.

Menurut YBrs. Dr. Hazami, apabila DBP menerima sebahagian daripada konsesi oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerbitkan buku teks, DBP hanya menyediakan kandungan buku, sementara kerja pracetak, pencetakan dan pengedaran diberikan kepada syarikat swasta.

Hal ini demikian untuk memberikan peluang kepada pemain industri perbukuan untuk terus beroperasi dan berkembang.

Dalam sistem pelantikan pencetak, DBP telah mencari syarikat untuk menjadi panel pencetak DBP. Pemilihannya sangat ketat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa DBP telah memohon dana tambahan selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 dan sedang menunggu keputusan Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, permohonan tambahan dana ini untuk membantu menggerakkan industri perbukuan dan sebahagian daripada dana lagi akan dikongsikan dengan syarikat penerbit dalam industri.

Jelas beliau;

DBP lebih kepada memayungi syarikat untuk sama-sama menggerakkan industri perbukuan yang akhirnya untuk memandaikan bangsa dan menjadi tamadun negara yang hebat, aman dan makmur.

Sementara itu, YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) turut diundang sebagai panel dalam dialog tersebut.

“Fungsi MBKM adalah untuk menggalakkan industri perbukuan dan menggalakkan rakyat Malaysia membaca. Antara perkara awal yang saya lakukan sewaktu masuk ke MBKM termasuklah mengadakan potongan cukai setahun RM15 juta, iaitu RM5 juta untuk penganjuran pesta buku dan RM10 juta untuk kempen membaca. Malangnya, industri tidak menggunakan sepenuhnya hal tersebut,” jelas YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron.

Katanya lagi, hal cukai ini suatu perkara yang boleh ditinjau. Oleh itu, beliau mengajak pihak yang terlibat menggunakan keupayaan cukai supaya semua persatuan boleh menggunakan dana tersebut untuk menggerakkan industri.

Tambah beliau lagi;

Selain itu, MBKM juga membawa karya Malaysia ke luar negara dengan terlibat dalam pesta buku antarabangsa dan secara konsisten MBKM memohon kerajaan untuk menambah dana bagi menggiatkan industri perbukuan.

YBrs. Mohd Khair Ngadiron menyatakan bahawa Dasar Buku Negara akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Beliau juga menyatakan bahawa Dasar Buku Negara akan dilancarkan pada tahun hadapan dan kini dalam proses untuk dibawa kepada Jemaah Menteri ketika ditanya oleh moderator dialog, iaitu YBrs. Tuan Haji Ishak Hamzah, Profesor Adjung, Universiti Putera Malaysia (UPM).

Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan turut mengundang YBrs. Puan Hajah Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku; YBrs. Encik Sakri Abdullah, Pengarah Urusan, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM); dan tetamu kehormat, YBhg. Dato’ Mohd Fazli Dato’ Zainudin yang mewakili Pengerusi Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi