Diterbitkan pada 28 Mei 2024, 19:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharudin

Kuala Lumpur – “Anak muda jangan malu dan segan untuk menguasai bahasa kebangsaan kita,”  demikian kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir semasa berucap dalam majlis pelancaran buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu yang menampilkan 10 judul buku.

Menurut YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir, identiti utama kepada sesebuah negara ialah bahasa yang melambangkan jati diri dan masyarakat di sesebuah negara perlu mempunyai semangat kebangsaan terutamanya dalam aspek bahasa. Beliau menyifatkan masyarakat tidak perlu mewujudkan polemik kerana dalam konteks Malaysia yang didiami oleh masyarakat majmuk, bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah bahasa kebangsaan.

YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut menggesa generasi muda bagi semua kaum di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan di negara ini.

Memetik aspek sosiolinguistik yang memperlihatkan hubungan bahasa dengan masyarakat, jiwa sesuatu bangsa ada pada bahasa ibunda masing-masing, namun dalam konteks Malaysia, semua orang perlu mengutamakan bahasa kebangsaan terlebih dahulu. “Jika mahu memahami sesebuah masyarakat, lihatlah dari segi bahasanya, aspek epistemologi, selain nilai semantik sesuatu bangsa dan masyarakat,” tambah beliau.

Judul buku yang mendapat perhatian YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapannya.

Pada masa yang sama, beliau menyentuh tentang cabaran yang perlu dihadapi oleh anak muda pada masa ini yang berdepan dengan penggunaan teknologi canggih terutamanya teknologi kecerdasan buatan (AI). Beliau mempersoalkan sejauh mana keupayaan AI dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada anak muda pada masa ini.

Terdahulu, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan sebagai seorang pejuang bahasa dan penulis tulen. “Prof Abdullah hidupnya hanyalah untuk mendidik insan dan menulis tanpa jemu. Saya sudah lama mengenali beliau,” jelasnya. Menurut beliau, tidak mudah untuk para penulis untuk menghasilkan buku dengan siri yang menampilkan pelbagai isu bahasa, sekali gus menyeru anak muda supaya terus menumpukan minat terhadap budaya membaca.

“Semoga kita dapat melaksanakan tugas besar kita dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan untuk negara,” akhiri YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan perasmiannya di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) yang menempatkan ruang pameran dan jualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala lumpur (PBAKL) 2024.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi