Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuantan – “Guru telah mendidik saya selama ini dan saya amat menghargai jasa mereka yang tidak berbelah bahagi. Terima kasih atas kesungguhan mereka mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Sesungguhnya peranan para guru pada masa ini tidak hanya membentuk masa depan yang komited, malah turut berfungsi dalam membentuk tadbir urus negara,” demikian ucap Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucap utama pada Majlis Pelancaran Hari Guru 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamid menyifatkan Hari Guru yang disambut pada hari ini merupakan pengiktirafan dan manifestasi kepada lebih 418 000 orang guru di seluruh negara yang begitu berjasa dalam mendidik pelbagai insan yang kini berjaya dalam lapangan masing-masing.
Dalam ucapannya, beliau mengulas tentang pandangan ahli Falsafah Islam, Ibnu Khaldun yang melihat aspek pendidikan bersifat pragmatis yang berubah mengikut arus perkembangan semasa. Dalam karya agungnya Mukadimah, Ibnu Khaldun menyifatkan peningkatan pemikiran atau fikrah yang tertumpu pada proses pendidikan membolehkan akal sentiasa berfikiran cerdas sehingga mendorong manusia supaya sentiasa belajar menimba ilmu.

YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara perkara yang mampu melonjakkan bidang pendidikan negara termasuklah anjakan paradigma yang mampu mempertingkatkan taraf hidup masyarakat ke arah yang lebih baik serta peningkatan dalam aspek kerohanian yang berupaya membentuk spiritual terhadap agama dan nilai moral dengan sentiasa berfikir tentang kebesaran Tuhan.
“Di atas pundak dan bahu para gurulah terletak amanah untuk membina generasi yang mampu membina masyarakat dan melahirkan generasi yang memiliki nilai karamah insaniah dan naluri kemanusiaan,” tambah beliau.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kehebatan para guru telah melahirkan generasi yang hebat dan berwibawa. “Guru begitu tinggi darjatnya dan betapa besarnya nilai amal jariah mereka,” tambah beliau. Jelasnya, profesion guru tidak sekadar kerjaya, tetapi pada masa yang sama mendidik generasi pada masa ini dengan sepenuh hati dan jiwa agar lebih bersifat manusiawi.
“Di hadapan saya, inilah guru yang ikhlas dan tidak pernah mengenal erti penat lelah dan sentiasa bertekad mendidik dan semoga anda terus istiqamah. Bagi murid di seluruh negara pada hari ini, berikanlah penghargaan yang setinggi-tingginya kepada para guru,” ujar Timbalan Perdana Menteri sambil menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Menyentuh tentang tema hari guru pada tahun ini, iaitu “Guru Jauhari Digital, Aprisasi Negara MADANI”, beliau berkata masyarakat kini berada dalam era revolusi teknologi canggih dengan pelbagai transformasi dan hal ini menuntut para pelajar menguasai teknologi terkini agar mereka mampu bersaing dalam evolusi pendigitalan yang sedang menguasai dunia pendidikan.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Hari Guru 2024 pada hari ini ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato Sri Haji Mohd. Shakar Haji Shamsudin; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tuan Haji Azman Haji Adnan serta pegawai kanan KPM.

Sebelum mengakhiri ucap utamanya, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan bait-bait sajak nukilan Sasterawan Negara Usman Awang, “Guru oh Guru” yang mengangkat perjuangan para guru di seluruh dunia dalam melahirkan insan hebat di muka bumi.