Diterbitkan pada 15 Mei 2024, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI, iaitu tema yang dipilih pada tahun ini adalah selari dan bersesuaian dengan senario yang diinginkan oleh kerajaan pada masa sekarang.”

Demikian ulasan oleh YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM) semasa berucap dalam Bicara Profesional sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad (SASICC).

Beliau menyatakan bahawa teknologi digital telah menjadi perkara yang dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuklah dalam bidang pendidikan.

“Tema hari guru pada tahun ini menekankan peri pentingnya peranan guru sebagai ejen perubahan yang membentuk pemikiran kritis, nilai-nilai murni serta sikap positif dalam kalangan generasi muda.”

YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan semasa membicarakan isu semasa pendidikan negara dalam program Bicara Profesional.

Selanjutnya, beliau berpandangan bahawa guru berperanan membangunkan sebuah negara MADANI dengan menjadi teladan kepada anak murid untuk fasih digital, seterusnya mampu berdaya saing dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, guru perlu memiliki kebolehan dan keupayaan dalam menggunakan teknologi digital terkini bagi memastikan murid dapat menumpukan sepenuhnya perhatian dan minat yang mendalam ketika belajar.

Beliau juga mengulas berkenaan dengan dasar baharu yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, iaitu Dasar Pendidikan Digital (DPD).

“Dasar ini digunakan untuk melahirkan generasi yang fasih digital, meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai pada diri murid serta pendidik itu sendiri.”

“DPD ini menepati dan menyokong hasrat negara melalui inisiatif dalam Dasar Digital Negara, iaitu membangunkan bakat digital yang kompeten. Oleh itu, guru jauhari digital merupakan kumpulan pendidik yang benar-benar kompeten sebagai peneraju digital dan menjadi pakar rujuk.”

Demikian ulasan beliau sebelum mengakhiri bual bicara yang diadakan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-53.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi