Diterbitkan pada 26 Mac 2024, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Kuala Lumpur – Antara cabaran yang dihadapi oleh dunia penerbitan khususnya buku berbahasa Melayu termasuklah pasaran yang terhad, minat membaca yang masih rendah, lambat menerokai ilmu baharu, kurangnya buku terjemahan dalam bahasa Melayu, pemasaran dan pengedaran yang kurang memuaskan, serta kemahiran editor, penulis dan pereka letak yang masih kurang memuaskan.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir menerusi pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk “Dunia Penerbitan” di Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu pada pagi tadi turut menyatakan bahawa minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah.

YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir menyatakan bahawa minat membaca dalam rakyat Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah.

Menurut beliau, “Berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai pengajar pada 15 tahun lepas, saya pernah bertanyakan soalan, siapakah yang membaca buku? Hanya dua orang sahaja yang mengangkat tangan.”

“Jarang-jarang juga kita dapat mendengar orang membaca buku sebanyak 12 judul setahun atau empat buah buku dalam masa sebulan.”

Tambahnya lagi, jika dibandingkan dengan negara seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun, ternyata Malaysia masih terbelakang dan perlu berusaha meningkatkan jumlah penerbitan buku tanah air.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan pula menyatakan bahawa industri penerbitan buku sedang berputar atas pelbagai platform dan perkhidmatan dalam era digital.

“Hal ini bermakna, penerbitan buku fizikal masih lagi mendapat sambutan tetapi era digital juga mencorakkan bentuk penerbitan baharu dan perkhidmatan yang ditawarkan secara dalam talian,” ujar beliau semasa membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Penulisan Buku, Peluang dan Cabaran.”

YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan menyatakan bahawa perkembangan industri penerbitan kini menawarkan cabaran dan peluang kepada penulis.

Cabaran ini tambah beliau, seharusnya difahami oleh semua pihak dengan terus berusaha memastikan bahawa bahan bacaan yang terbitkan mampu bersaing dengan buku yang diterbitkan secara maya.

“Perkembangan industri penerbitan pada masa ini menawarkan cabaran dan peluang kepada penulis untuk menyampaikan karyanya kepada pembaca. Langkah pertama penulis adalah memilih penerbit yang benar-benar berkaliber. Penulis mengharapkan karya mereka dipromosikan dan dijual dengan baik. Namun begitu, industri penerbitan kini berhadapan dengan cabaran kenaikan kos penerbitan. Harga kertas, dakwat, mesin dan tenaga kerja sentiasa meningkat dan memberikan kesan terhadap peningkatan harga buku. Oleh itu, penerbit berhadapan dengan masalah untuk menjual buku pada harga mampu milik.”

Tambah beliau, minat membaca dalam kalangan masyarakat harus dipupuk kerana kemajuan Malaysia sangat bergantung kepada masyarakatnya yang berilmu.

Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang dianjurkan DBP ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 26 Mac 2024 dan 27 Mac 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi