Diterbitkan pada 17 Mac 2024, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan II, Sabah, semalam.

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa semua pelajar perlu mempunyai tahap fokus dan memberikan tumpuan yang tinggi supaya mereka tidak tercicir maklumat ketika proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung.

Setiap pelajar perlu menetapkan matlamat atau sasaran masing-masing yang jelas dalam apa-apa jua yang dilakukan.

Murid-murid juga perlu bijak dalam menguruskan masa dengan aktiviti seharian.

Jadual harian dan jadual sekolah juga perlu seimbang bagi memastikan pelajar tidak semata-mata fokus dalam aktiviti di sekolah atau di luar sekolah sahaja.

Demikianlah titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II, Jalan Sin On Tiku, Tawau, Sabah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah Tawau, semalam.

Penanaman pokok oleh Raja Muda Perlis merupakan simbolik perasmian bagi program tersebut.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Haji Sima dan Pengetua SMK Kinabutan II, Sharifuddin Kamarzaman.

Dalam program tersebut, DYTM Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan perasmian Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah.

YTSP berkata,

Baginda turut merasmikan dewan sekolah tersebut yang dinamakan bersempena dengan nama anakanda sulung baginda.

Nama dewan diambil bersempena dengan nama anakanda sulung baginda di sekolah tersebut.

Dewan ini akan berfungsi sebagai dewan serbaguna untuk kegunaan sebarang aktiviti kakitangan dan pelajar sekolah.

YTSP turut memaklumkan bahawa pelbagai sumbangan telah disalurkan melalui program tersebut. Antaranya termasuklah sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk kegunaan program dakwah di SMK Balung dan SMK Kinabutan II, serta sumbangan wang tunai daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis kepada lapan buah sekolah berasrama yang dikunjungi di sekitar Tawau untuk program berbuka puasa.

Selain itu, sumbangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut disampaikan kepada 100 orang pelajar B40 di SMK Balung, manakala Yayasan Islam Perlis juga menyumbang wang tunai kepada sekolah berasrama untuk melaksanakan program ilmu.

Dalam perkembangan yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Ketua Pengarahnya, Dr. Hazami Jahari turut mengambil kesempatan untuk menyumbang koleksi buku, manakala Rajasekaran Advocates & Solicitor turut menyumbang satu unit sistem siar raya untuk kegunaan asrama di SMK Balung.  Antara lain termasuklah sumbangan wang tunai daripada Presiden Yayasan Kebajikan Perlis kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk kegunaan sekolah, serta sumbangan daripada Perpustakaan Awam Negeri Perlis berupa buku ilmiah kepada SMK Balung dan SMK Kinabutan II.

Turut hadir bersama-sama dalam program ini ialah Penyelaras Program Titian Kasih, Jumariah Samsuddin dan Penyelaras YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Sebanyak 539 orang pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3 telah terlibat dan mendapat pelbagai maklumat yang berguna daripada program tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi