Diterbitkan pada 15 Mac 2024, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Susulan daripada isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pada hari ini bahawa pembinaan sekolah baharu bakal dijalankan.

SK Cyberjaya (2) yang dibida dalam RMKe-12 RP3 (tahun 2023) telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.

“SK Cyberjaya (2) bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaan.

“Sekolah ini dijangka siap pembinaan pada tahun 2028.

Menurut KPM, beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang telah dirancang dan sedang dalam peringkat pelaksanaan bagi mengatasi isu ini.

Tambah KPM menerusi kenyataannya pada pagi ini,

Antara penyelesaian jangka pendek yang sedang dilaksanakan, termasuklah penyuraian murid Tahun 1 ke beberapa buah sekolah yang berdekatan, serta kelulusan pembinaan kabin 12 buah bilik darjah tambahan.

Selain itu, KPM memaklumkan bahawa pembinaan sekolah menengah baru turut dijalankan bagi mengatasi isu berkenaan.

Ini termasuklah menerusi pembinaan sekolah menengah baharu SMK Cyberjaya (2) yang akan dimohon dalam RMK-13 RP1 Tahun 2026 pada tahun ini.

“Perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) juga turut dimohon dalam RMK-13 RP2 Tahun 2027 pada tahun 2025.

Sehubungan dengan itu, KPM amat prihatin terhadap isu kepadatan murid dan pihaknya sentiasa komited melakukan perancangan pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi