Diterbitkan pada 11 Mac 2024, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Langat – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan penyusunan semula sekolah yang mempunyai bilangan murid yang padat bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dalam kalangan murid.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, penyusunan semula sekolah itu akan dilaksanakan segera oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), berikutan peningkatan enrolmen murid untuk menjamin keselesaan kepada pelajar di sekolah yang berkenaan.

Saya fikir semua sekolah ada peningkatan dari segi enrolmen dan terdapat sekolah yang menerima peningkatan murid.

“Enrolmen membabitkan murid darjah satu sememangnya tinggi.

Demikianlah kata Menteri Pendidikan semasa sidang media selepas meninjau sesi baharu persekolahan sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putra pada hari ini.

Sementara itu, KPM dalam kenyataan yang diedarkan kepada media memaklumkan bahawa pendaftaran pelajar pada tahun ini bermula dari prasekolah hingga tingkatan lima di seluruh negara berjumlah lebih lima juta orang dengan Selangor menjadi negeri yang mempunyai kadar enrolmen tertinggi, iaitu berjumlah lebih daripada 927,528 orang.

Enrolmen murid tahun satu berjumlah 466,799, manakala pelajar tingkatan satu pula melibatkan sebanyak 478,594 orang pelajar.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi sesi akademik pada kali ini menunjukkan bahawa Wilayah Persekutuan Labuan menjadi negeri yang paling sedikit jumlah pendaftaran murid, iaitu hanya sebanyak 1700 orang bagi darjah satu dan sebanyak 1600 untuk pelajar tingkatan satu.

Menurut YB Fadhlina Sidek, setakat ini kapasiti guru didapati mencukupi bagi sesi akademik 2024/2025 dan isu kekurangannya akan diatasi dengan segera dari semasa ke semasa.

Berkenaan dengan isu sekolah kurang murid (SKM), kita akan terus memantau dan mempunyai perancangan yang selanjutnya berkaitan dengan hal tersebut.

Sementara itu, KPM turut menjelaskan akan terus komited untuk meningkatkan akses pendidikan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Jelas KPM, terdapat lebih daripada lima juta orang murid (keseluruhan) yang bersekolah pada tahun ini, iaitu bermula dari peringkat prasekolah hingga tingkatan lima.

Tambah KPM, sebanyak 12 buah sekolah telah siap sepenuhnya dan belum dibuka dari tahun lalu hingga Februari tahun ini.

“Selain itu, sebanyak 26 buah sekolah telah diluluskan untuk pembangunan dan pembinaannya menerusi belanjawan tahunan sebelum ini,” ujar YB Fadlina Sidek semasa mengakhiri sidang media tersebut.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi