Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kajang – Media harus mengangkat pelancongan Perlis sebagai pelancongan mesra Muslim dan tiada jurang besar mengenai bahasa memandangkan ada rakyat Perlis yang boleh berbahasa Thai.
Apatah lagi dalam situasi semasa pertukaran mata wang yang memihak kepada Thai Baht.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis pelancaran Promosi Masakan Perlis, iaitu kurma daging Perlis bersempena dengan Hari Media dan Pelancongan Malaysia-Selatan Thailand 2024 yang diadakan di Yannanty Hotel, Hat Yai, Thailand dan disempurnakan perasmiannya oleh baginda baru-baru ini.

Menyentuh tentang pelancongan secara khususnya, baginda menyarankan pihak media memainkan peranan dalam usaha mempromosikan dan melaporkan sebarang aktiviti yang berlaku serta keunikan atau keindahan destinasi pelancongan menarik secara terbaik dan menyeluruh untuk membantu memperkenalkannya.
“Tuan puan dipohon agar menguar-uarkan tentang kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024 – 2025.
“Promosikanlah tentang pusat pelancongan, acara yang diadakan, lokasi yang menarik serta juga juadah istimewa yang ditawarkan di Perlis,” titah baginda.
Sementara itu, Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyerahkan plak sebagai simbolik promosi tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif hotel tersebut, iaitu Rachen Attamart.
Raja Muda Perlis berharap semoga apabila lebih banyak pengunjung dari Thailand bertandang ke Perlis, mungkin Kerajaan Thailand dan Malaysia akan mempertimbangkan supaya masa penutupan sempadan di Padang Besar dilewatkan dari pukul 10.00 malam ke pukul 12.00 tengah malam.
Baginda juga berharap agar pintu masuk di Kuala Perlis akan dibuka kembali serta kemudahan aliran bebas di Wang Kelian dibenarkan semula.
Hari Media tersebut dianjurkan atas inisiatif bersama oleh Persatuan Media Selatan Thailand bersama-sama Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand – Asia Tenggara (TAHTA) dan Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera (SKNS).
Antara yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Gabenor Wilayah Songkhla, Somnuek Promkhieo; Gabenor Wilayah Pattani, Patimoh Sadiyamu; dan Naib Gabenor Wilayah Narathiwat, Chatchai Usaha.