Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Tanjung Piai – Sebanyak 50 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Kampus Pagoh, mewakili ahli kelab KLM Entrepreneurship Club (KEC) yang diketuai oleh Saudara Fikri Ramlan terlibat dalam program Jalinan Kasih Mahasiswa selama dua hari tiga malam di Rumah Inap Tanjung Piai, Pontian Johor.
Matlamat program ini bertujuan untuk membantu komuniti masyarakat Tanjung Piai dalam bidang keusahawanan, di samping melahirkan mahasiswa yang berfikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah, terutamanya bidang yang melibatkan keusahawanan.
Menurut Abd Hadi Ambok Ingtang yang merangkap Pengerusi Rumah Inap Tanjung Piai dalam sesi temu bual, beliau berkata,
Program ini bukan sahaja tertumpu untuk membantu peniaga di sekitar Tanjung Piai, malah turut dapat meneroka adat Bugis yang masih kekal di sekitar kawasan tersebut.
Program ini memberikan pencerahan tentang peninggalan adat dan warkah lama dalam tulisan Bugis menunjukkan bahawa adat Bugis di sekitar kawasan ini masih aktif dan diteruskan.

Hal ini secara tidak langsung dapat mengetengahkan semula warisan Bugis di Tanjung Piai. Pelajar juga dapat menimba ilmu baharu berkenaan makanan tradisional orang Bugis dan melihat pemakaian perkahwinan orang Bugis yang susah untuk ditemui. Mahasiswa yang terlibat juga turut berpeluang memakai pakaian perkahwinan orang Bugis.
Selain aktiviti kebudayaan Bugis, mahasiswa juga ditugaskan untuk bekerjasama dengan komuniti usahawan di sekitar Tanjung Piai dalam menghasilkan video produk jualan. Oleh itu, mahasiswa didedahkan dengan cara mengendalikan produk dan berjaya menghasilkan video promosi bagi setiap produk yang ada.
Ujar beliau lagi,
Usaha untuk mengekalkan warisan Bugis bukanlah satu hal yang mudah kerana memerlukan pengorbanan dan semangat yang tinggi.
Beliau berpendapat bahawa inisiatif komuniti masyarakat Bugis dalam mengekalkan warisan Bugis adalah signifikan dengan menghasilkan produk seperti madu kelulut, burasak, kuih titi aji dan sebagainya. Inisiatif ini dilihat dapat menarik minat pelancong hadir di kawasan tersebut.