Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto: Hanafi Mohd Yusof
Bangi – “Sasterawan Negara merupakan jauhari negara dan mereka mempunyai kekuatan, keupayaan serta ketajaman pemikiran yang banyak menyumbang dalam aspek pembangunan masyarakat, tamadun khususnya, apatah lagi bahasa, sastera dan semangat nasionalisme dan setiap daripada mereka ini mempunyai gagasan pemikiran yang sangat luhur yang sering diterjemahkan dalam masyarakat, khususnya mengangkat tema-tema tertentu.
Kekuatan-kekuatan yang ada dalam karya mereka banyak diterjemahkan tentang apa yang berlaku dalam masyarakat khususnya, dan mendekatkan kita dengan alam ini.
Demikian ucapan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika meraikan Sasterawan Negara dalam sesi ramah mesra, iaitu Majlis Sua Puri Kencana yang berlangsung di Restoran De Wan, Bangi Resort Hotel pada petang ini.
Dalam majlis anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan itu, Menteri Pendidikan meluangkan masa untuk bertukar-tukar pendapat bersama-sama Sasterawan Negara, di samping beramah mesra dengan mereka.
Antara barisan Sasterawan Negara yang diraikan termasuklah YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Rethwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari.
Menurut YB Fadhlina, sumbangan Sasterawan Negara harus dipanjangkan dan diperluas dalam masyarakat. Oleh itu, KPM mencadangkan pembudayaan pemikiran Sasterawan Negara di sekolah dan di institusi pendidikan di bawah KPM diadakan sebagai langkah untuk menyebarkan nilai murni menerusi karya agung tanah air.
Ujar beliau lagi, KPM turut berhasrat meraikan karya Sasterawan Negara melalui penerbitan buku Sasterawan Negara edisi pelajar, pengisytiharan Hari Sasterawan Negara, penganugerahan mata ganjaran khas NILAM untuk bahan bacaan karya Sasterawan Negara, pewujudan sudut atau galeri Sasterawan Negara di perpustakaan sekolah dan di institusi serta pengantarabangsaan karya agung Sasterawan Negara.
Pada masa yang sama juga, penting untuk kita terus melihat peranan Sasterawan Negara yang menjadi sebahagian daripada prakarsa yang harus diangkat dalam dunia pendidikan, khususnya dalam kegiatan-kegiatan sastera oleh guru-guru di peringkat KPM.
Oleh itu, KPM dan DBP akan melancarkan Geran Khas Program Penyebaran Sastera yang bernilai sehingga RM30,000.00 kepada setiap Sasterawan Negara sebagai bantuan dan kemudahan untuk progam penyebaran sastera, Sasterawan Negara. Usaha ini diharapkan dapat membantu Sasterawan Negara untuk terus berbakti dan memasyarakatkan sastera kebangsaan.
Majlis turut diserikan dengan sesi deklamasi puisi oleh YB Fadhlina Sidek, YBrs. Dr. Hazami Jahari merangkap Ketua Pengarah DBP dan para Sasterawan Negara.


Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan; YBrs. Tuan Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM; YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah); YBrs. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali Hussin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme); YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP; YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP serta pegawai-pegawai dari KPM dan DBP.