Diterbitkan pada 24 Disember 2023, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beseri – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sebuah tamadun akan kuat sekiranya ekonominya kukuh, masyarakatnya tidak miskin dan kehidupannya dalam keadaan selesa, yakni mampu membina karakter atau peradaban yang cemerlang seterusnya membina tamadun gemilang.

Baginda bertitah, hadharah juga dilihat sebagai hasil pembangunan material yang boleh memberikan kehidupan dalam bentuk yang mewah.

Kemewahan yang telah dinikmati oleh bangsa dianggap bahawa tamadun telah pun terbina yang lahir dari intelektualisme dan materialisme dan didukung utuh secara konsisten oleh sesebuah bangsa.

Baginda menyampaikan sumbangan zakat kepada keluarga asnaf di Kampung Sungai Paya, Beseri.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat singgah bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada keluarga asnaf di sekitar Kampung Sungai Paya, Beseri bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda, iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menitahkan ucapan selamat Hari Krismas bagi rakyat yang menyambut pada esok hari.

Semoga semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus segar dan sentiasa dipertambah baik sesama masyarakat di negeri ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi