Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMata Ayer – Semua pihak diseru supaya memberikan perhatian yang serius kepada kestabilan, keamanan dan keselamatan negara agar kita dapat terus hidup aman dan makmur.
Khusus kepada seluruh anggota keselamatan negara pula, sebagai perwira perajurit bangsa anda tidak punyai waktu. Jangan sudah tersadung baru tengadah. Sebagai insan yang berjiwa besar tidak ada lain kecuali terus tampil mempertaruhkan jiwa dan raga demi maruah demi kedaulatan dan erti keamanan. Jangan keamanan yang dikecapi yang telah dirintis oleh mereka terdahulu musnah punah semuanya.
Anda mesti sama-sama bergerak dengan langkah perkasa sesuai dengan ikrar dan sesuai dengan sumpah keramat yang dilafazkan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Sted Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan “Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah” yang diadakan di Wisma Perwira, Markas 30 Briged, Kem 30 Infantri Bukit Cowder, Mata Ayer, Perlis baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Komander rejimen berkenaan yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri itu disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji serta para pegawai kanan rejimen.
Turut hadir ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Yazid Yusuf.
Dalam majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan tahniah kepada Pegawai Sukarela Askar Wataniah iaitu Kapten Fitri Azhar dan juga kepada Leftenan Muda Syed Ayman Shahabudin Syed Omar Shahabudin atas pemakaian pangkat baharu mereka. Baginda juga mengucapkan syabas kepada Leftenan Muda Syed Ayman kerana tercalon dalam mengikuti kursus “Commissioning Course” di Royal Military Academy Sandhurst di Camberley, United Kingdom pada tahun hadapan.
Tuanku Raja Muda turut mengajak generasi muda yang sihat tubuh badan dan memenuhi semua keperluan minima akademik serta fizikal yang telah ditetapkan untuk tampil kehadapan secara beramai-ramai bagi mendaftarkan diri sebagai pegawai atau Anggota Lain-Lain Pangkat Sukarela Askar Wataniah. Ia sesungguhnya adalah satu profesion yang terkenal dengan kegagahan, keberanian dan pengorbanan demi kedaulatan negara.