Diterbitkan pada 21 Disember 2023, 13:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd. Yusof

Trofi Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan) menjadi milik DBP.

Tanjung Malim – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dijulang sebagai penerima Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan) dalam majlis ulung dan paling berprestij, Anugerah Buku Negara (ABN) 2023.

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan dan Pengarah Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa dengan disaksikan oleh ribuan hadirin yang memeriahkan dan memenuhi Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada pagi ini.

Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan) merupakan satu daripada 11 kategori dalam Anugerah Perdana ABN 2023.

Menurut YAB Perana Menteri dalam ucapan perasmian ABN 2023, beliau menyatakan bahawa generasi muda pada hari ini harus menguasai ilmu kerana ilmu hanya akan diperoleh dengan mempertingkat budaya membaca.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan ABN 2023.

Dengan memupuk semangat budaya membaca yang tinggi dalam kalangan generasi muda pada hari ini, saya yakin usaha ini akan mengubah Malaysia menjadi Malaysia yang cemerlang dan Malaysia yang MADANI.

Selain itu, sebagai bukti utuh yang berterusan oleh kerajaan dalam menyokong pengajuran ABN, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 ribu dalam usaha untuk terus memperkasakan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Sementara itu, SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada DBP, khususnya Jabatan Penerbitan kerana menerima Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan), oleh YPBN yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri. Ujar beliau,

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Anuar Rethwan bersama-sama dengan piala bagi anugerah yang diterima oleh DBP.

Anugerah ini harus membakar semangat warga DBP untuk terus menambah baik semua program dan aktiviti untuk menanjak prestasi DBP.

Mengulas mengenai kejayaan DBP sebagai penerima Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan), Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa pengiktirafan penuh bermakna ini akan terus menjadi pembakar semangat kepada DBP untuk terus menerbitkan bahan penerbitan yang bermutu tinggi pada masa akan datang.

“Kejayaan ini akan menjadikan DBP terus komited menjayakan objektif utama Dasar Buku Negara” – Ketua Pengarah, YBrs. Dr. Hazami.

Anugerah yang diterima oleh DBP pada hari ini amat bermakna kepada kami. Anugerah ini semestinya menjadi pembakar semangat kami untuk terus membangunkan tamadun bangsa menerusi penerbitan buku yang bermutu yang berupaya membangunkan pemikiran dan sahsiah masyarakat.

Tambah beliau, “DBP akan terus komited menjayakan objektif utama Dasar Buku Negara. DBP juga dengan penuh tanggungjawab akan terus berjuang mendaulatkan bahasa Melayu menerusi penerbitan sama ada penerbitan bercetak atau digital.”

Sementara itu, Puan Fauzilahyatun menyatakan bahawa Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan) ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan kepada DBP, khususnya kepada warga Jabatan Penerbitan terhadap usaha keras yang diberikan selama ini.

“Anugerah berprestij ini tidak akan dapat diraih tanpa kerja berpasukan warga Jabatan Penerbitan dan semua pihak yang terlibat” – Pengarah Penerbitan, Puan Fauzilahyatun.

Syukur alhamdulillah atas anugerah ini. Kemenangan ini untuk DBP dan khususnya untuk karyawan Jabatan Penerbitan yang sentiasa memberikan khidmat dan komitmen terbaik sebagai penerbit ulung bagi memastikan buku dan majalah yang dihasilkan berkualiti dan bermutu tinggi. Pastinya kejayaan ini tidak dapat diraih tanpa kerja berpasukan yang padu daripada semua pihak. Semoga DBP terus melakar kejayaan dan kecemerlangan. Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), DBP menerusi Jabatan Penerbitan menggalas fungsi utamanya, antaranya termasuklah mengurus dan menerbitkan buku sekolah, majalah, jurnal, buku umum, buku bahasa, buku sastera, dan buku kanak-kanak dan remaja, sama ada dalam secara bercetak, digital atau secara multimedia interaktif. Sesungguhnya, sepanjang tempoh 67 tahun, produk penerbitan DBP berperanan penting dalam membina tamadun bangsa dan negara.

ABN 2023 merupakan satu usaha murni bagi memberikan pengiktirafan dan penghormatan tertinggi kepada prestasi cemerlang warga pengarang, karyawan, penerbit serta pendidikan serta profesional yang menulis dan menerbitkan buku untuk mengisi keperluan masyarakat dan pembangunan intelek negara.

Yang turut hadir dalam majlis berprestij ini ialah Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Aminuddin Shari; dan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi