Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Sejak penubuhan Universiti Multimedia (MMU), universiti ini telah menghasilkan lebih daripada 75,000 graduan dari dalam dan luar negara, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, setakat ini, MMU mempunyai 16,500 pelajar dengan lebih daripada 1400 daripada mereka adalah pelajar antarabangsa dari 70 buah negara.

MMU telah berjaya melahirkan ramai graduan cemerlang yang menjadi pemain utama dalam pelbagai industri, sama ada di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa.
Tujuan MMU ditubuhkan untuk memainkan peranan sebagai institusi pengajian tinggi yang membekalkan pekerja mahir dan berpengetahuan tinggi, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan digital untuk keperluan industri.
Demikianlah sembah maklum oleh Profesor Dato’ Dr. Mazliham ketika mengadap Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di kampus MMU, semalam.
Keberangkatan tiba baginda bersempena dengan Program Kayuhan DYTM Raja Muda Perlis @ MMU itu disambut oleh beliau bersama-sama para pegawai kanan universiti.


Antara kemudahan yang dilawati oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra di sekitar Rimba Ilmu MMU, termasuklah Indoor Smart Farming Lab di Fakulti Kejuruteraan, E-Gallery di Fakulti Multimedia Kreatif, menyaksikan tayangan dua buah filem pendek dari Fakulti Seni Sinematik dan juga Filem Animasi dari Fakulti Multimedia Kreatif di MMU Cinema dan juga Sound Stage Fakulti Seni Sinematik.
Profesor Datuk Dr. Mazliham menyembah maklum bahawa MMU turut menawarkan bidang pengajian dalam Multimedia Kreatif, Seni Sinematik, Perniagaan & Pengurusan, Kewangan, Perakaunan, Undang-undang dan Komunikasi Strategik.
Antara graduan yang telah berjaya, termasuklah Nizam Razak (Boboiboy), Usamah Mohd. Zaid Yassin (Ejen Ali), Ghazali Abu Bakar (Polis Evo), Dr. Kevin Koay (salah seorang daripada sekumpulan saintis yang menemui Lohong Hitam atau Black Hole di galaksi angkasa lepas), Tan Aik Keong (Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Studio Sdn. Bhd.), Dato’ Dr. Nazri Khan (pakar kewangan) dan banyak lagi.
Terdahulu daripada itu, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran menyampaikan ucapan bagi mewakili seluruh barisan tetamu undangan yang hadir.