Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangParis – Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, YB Fadhlina Sidek telah mengetuai delegasi negara ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Kali Ke-42 di Paris, Perancis, pada 7 November hingga 10 November 2023.
Dalam persidangan tersebut, YB Fadhlina telah menyampaikan kenyataan negara semasa sesi perbahasan umum dan berkongsi tentang visi serta pencapaian Malaysia dalam menjayakan agenda UNESCO.
YB Fadhlina turut mengetengahkan peranan aktif negara dalam mendukung agenda UNESCO seperti sumbangan kepakaran dan kewangan melalui Program Kerjasama Malaysia – UNESCO yang memberikan manfaat kepada 7000 peserta yang melibatkan 87 buah negara di seluruh dunia.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM, Malaysia turut menyumbang dalam pembangunan pengetahuan menerusi Kursi UNESCO berkaitan dengan Pembelajaran Masa Hadapan yang disandang oleh Malaysia serta pengiktirafan terkini UNESCO Triple Crown Site kepada Sabah dalam memelihara dan mempromosikan tapak warisan dunia dan biosfera di negeri tersebut.
YB Fadhlina berkata,
Malaysia mempunyai kesungguhan dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid merentasi batasan kaum, agama atau status sosial. Hal tersebut dilakukan menerusi elemen pembangunan pendidikan berteraskan Pendidikan Manusiawi yang berkonsepkan Karamah Insaniah.
Selain menghadiri persidangan agung, YB Fadhlina turut menyertai Dialog Peringkat Menteri Berkaitan Pendidikan Keamanan yang turut dihadiri oleh menteri dalam kalangan negara anggota UNESCO serta mengadakan lawatan ke institut pendidikan yang boleh menyumbang terhadap kualiti pendidikan negara.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan tersebut membuktikan komitmen berterusan negara selaku negara anggota UNESCO yang membuka peluang untuk membuat intervensi bagi memastikan prestasi dan pencapaian Malaysia dalam bidang kompetensi UNESCO adalah selari dengan agenda semasa global.