Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya bergelar sebagai Juara Keseluruhan dalam Pertandingan Antarabangsa World Robot Olympiad (WRO) 2023 yang diadakan di Panama City, Panama pada 7 November hingga 9 November 2023.
Kejayaan tersebut merupakan kejuaraan kali ke-11 daripada 19 kali penyertaan Malaysia dalam WRO yang menyaksikan Malaysia berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak daripada keseluruhan tujuh kategori yang dipertandingkan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM, pasukan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin diwakili oleh 49 peserta dalam kalangan murid sekolah rendah dan murid sekolah menengah serta pelajar institut pendidikan guru (IPG).
Malaysia turut menghantar pegawai KPM yang bertugas sebagai pengadil kejohanan dalam pertandingan yang disertai oleh 1200 peserta dari 80 buah negara.
Pada kenyataan media yang sama, YBrs. Tuan Haji Shafruddin menzahirkan perasaan bangga terhadap pencapaian pasukan negara dalam pertandingan tersebut.
Tambah beliau,
Kerjasama berpasukan yang baik, komitmen dan sokongan semua pihak termasuk Sasbadi Holdings Berhad yang merupakan rakan strategi KPM adalah sangat penting bagi pasukan negara mengguguli kejohanan tersebut.
“KPM sentiasa berusaha meningkatkan minat murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), termasuklah menerusi program robotik yang menarik dan menghiburkan,” ulas beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM.