Diterbitkan pada 3 November 2023, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Phnom Penh – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar rakyat Malaysia untuk terus memainkan peranan yang positif dalam membantu negara memacu pembangunan yang mampan pada masa hadapan.

Sebagai warganegara Malaysia yang telah mengecapi kemodenan dan kemudahan asas lebih awal berbanding penduduk di negara Cambodia, usaha yang mulia dan terpuji semua merupakan aset dan akan sentiasa menjadi kebangaan negara.

Titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat beramah mesra dengan warga Malaysia di Cambodia dalam Majlis Santapan Malam Liqa Mawaddah yang berlangsung di Dewan Besar, Rumah Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia Tuan Yang Terutama, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan isterinya, Datin Masdiana Mohamad yang menghoskan majlis tersebut.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Liqa Mawaddah yang berlangsung di Dewan Besar, Rumah Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengetuai delegasi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia ke Phnom Penh turut mengingatkan:

Selain mengejar matlamat hidup dan mencapai aspirasi negara, rakyat perlu memberikan penekanan terhadap aspek kesihatan fizikal dan mental.

Jika perkara ini dititikberatkan, insya-Allah kita akan menjadi cerdas dan cergas, serta lebih berdaya saing.

Pertemuan pada malam ini yang melibatkan 6,000 masyarakat Malaysia di negara tersebut membuka wadah untuk lebih memahami peranan dan sumbangan diaspora Malaysia di bumi Cambodia ini, selain saling mengenali antara satu sama lain.

Para tetamu yang hadir juga dijemput untuk melancong ke negeri Perlis bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024–2025 yang akan bermula tidak lama lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Eldeen Husaini dan seluruh warga kerja Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh atas layanan yang baik dipersembahkan sepanjang lawatan berlangsung.

Program diakhiri dengan slot “Bicara Hikmah dan sesi interaksi”, perkongsian yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi