Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Golf Amal Diraja bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-80 anjuran The Mines Resort & Golf Club dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis telah berlangsung di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan pada hari semalam.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis dan Presiden Kelab Golf Putra (KGP) Perlis berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengasas The Mines Resort & Golf Club, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Lee Kim Yew; Ahli Jawatankuasa Penganjuran Pertandingan, iaitu YBhg. Laksamana (Bersara) Tan Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor dan YBhg. Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Adnan Abu Bakar.
Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Lee Kim Yew menyatakan bahawa pertandingan ini merupakan tanda penghormatan terhadap Raja Muda Perlis dan bertemakan nombor “lapan” iaitu menandakan setiap dekad perjalanan kehidupan dan kepimpinan, jasa baik Baginda yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat, serta dedikasi yang diberikan oleh Baginda kepada rakyat, khususnya di negeri Perlis.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan simbolik penyerahan jam tangan edisi khas “MINES Watch” yang bernilai RM80 000.00 oleh YBhg. Tan Sri Lee Kim Yew kepada Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus.

Sebelum ini, YBhg. Tan Sri Lee Kim Yew telah menyalurkan pelbagai sumbangan kepada Perlis termasuk sumbangan 79 basikal kepada golongan yang memerlukan dan Tabung Bayi Baru Lahir Putra Putri Hospital Tuanku Fauziah Kangar.

Pengasas The Mines Resort & Golf Club itu turut mengumumkan “keahlian khas” yang diberi bersempena dengan majlis itu selama dua tahun dan kutipan yang dihasilkan akan disalurkan kepada pihak YTSP Perlis.