Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) melaksanakan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang bermula pada hari ini hingga 27 Oktober 2023 di Universiti Multimedia.
Karnival yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada pagi tadi melibatkan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik dan berlangsung serentak bermula pukul 2.00 petang di beberapa buah fakulti di Universiti Multimedia. Antara aktiviti tersebut termasuklah Pembinaan Kandungan Kreatif Digital, Penceritaan dan Produksi Filem, Penghasilan Penataran Bunyi, Bengkel Debat dan Bijak Maklumat Digital.
Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Pengurus Perpustakaan Digital Siti Hasmah (SHDL), iaitu Encik Shaharom Nizam, sesi interaktif Bijak Maklumat Digital merupakan sesi pengenalan kepada pelajar berkenaan dengan pencarian, pengurusan, penggunaan dan penyebaran maklumat yang diterima oleh pelajar atau pengguna dengan betul dan tepatnya.


Seterusnya, Bengkel Pembinaan Kandungan Kreatif Digital yang berlangsung di Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada asas pemodelan tiga dimensi (3D) dan memupuk potensi mereka dalam menghasilkan sebuah kandungan digital kreatif dengan menggunakan alat 3D dalam talian yang dikenali sebagai MagicaVoxel.


Menurut Puan Rosnani Abdul Rahman, iaitu pensyarah MMU yang juga merangkap Ketua Jawatankuasa Pemasaran FCM, pameran di Galeri FCM adalah berbentuk galaksi bintang yang dihasilkan oleh dua orang pensyarah FCM, iaitu Encik James Ly dan Encik Anis Haron yang mempunyai kepakaran dalam melaksanakan pameran yang berkaitan dengan pemetaan ujuran, visual, audio dan deria 360 darjah.


Selanjutnya, sesi interaktif Penceritaan dan Produksi Filem yang diadakan di MMU Cinema pula adalah berkaitan dengan proses asas bagi penghasilan sesebuah filem.

Orang ramai yang berminat dengan aktiviti interaktif yang diadakan di Universiti Multimedia ini masih lagi berpeluang untuk hadir esok, iaitu hari Khamis pada pukul 2.00 petang dan juga pada hari Jumaat di lokasi seperti yang tertera dalam jadual yang disertakan:
