Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPhnom Penh – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat beramah mesra dengan warga Malaysia di Kemboja dalam Majlis Santapan Malam “Liqa Mawaddah” yang berlangsung di Dewan Besar, Rumah Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan isteri, Datin Masdiana Mohamad yang menghoskan majlis tersebut. Beliau turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada sekalian yang hadir.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengetuai delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia ke Phnom Penh pada kali ini bertitah:
Sebagai rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja kita berada perlu sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran global dan mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan negara-negara di rantau ini, bahkan dengan negara-negara lain yang menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan dunia.
Beta juga ingin menyeru rakyat Malaysia di Kemboja untuk terus memainkan peranan yang positif, bagi sama-sama membantu negara kita memacu pembangunan yang mampan pada masa hadapan.

Sebagai warganegara Malaysia yang telah mengecap kemodenan dan kemudahan asas lebih awal berbanding penduduk di negara Kemboja, usaha yang mulia dan terpuji yang ditunjukkan oleh semua warganegara Malaysia merupakan aset dan akan sentiasa menjadi kebanggaan negara.
Tuanku Raja Muda turut berkenan mengingatkan, selain mengejar matlamat hidup dan mencapai aspirasi negara, Baginda menyarankan agar semua individu sentiasa memberikan penekanan yang lebih terhadap aspek kesihatan fizikal dan mental yang memberikan impak pada diri dan seluruh sistem kehidupan. Jika perkara ini dititikberatkan, insya-Allah individu akan menjadi cerdas dan cergas serta lebih berdaya saing.

Pertemuan pada malam tersebut yang melibatkan sebahagian kecil daripada 6000 masyarakat Malaysia di Kemboja membuka wadah untuk lebih memahami peranan dan sumbangan diaspora Malaysia di negara tersebut, selain saling mengenali antara satu sama lain.
Para tetamu yang hadir juga dijemput untuk melancong ke negeri Perlis bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan bermula tidak lama lagi.


DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Eldeen Husaini dan seluruh warga kerja Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh atas layanan baik yang dipersembahkan sepanjang lawatan berlangsung.
Program diakhiri dengan slot “Bicara Hikmah dan Sesi Interaksi” yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.