Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli
Putrajaya – “Advokasi kesihatan mental perlu diperkukuh yang melibatkan seluruh warga pendidik,” ujar Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan 2023, di The Everly, Putrajaya pada petang tadi.
Tambah beliau,
Pada hari ke-10 saya menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), negara telah dikejutkan dengan insiden tanah runtuh Batang Kali yang memerlukan keupayaan dalam kalangan barisan hadapan untuk menangani isu kesihatan mental yang berlaku pada ketika itu.
Selain menggalas tanggungjawab untuk memberikan pendidikan yang berkualti kepada murid, KPM turut berperanan dalam memastikan kesihatan mental murid dan warga pendidik sentiasa terjaga.
Sebagai inisiatif yang diketengahkan oleh KPM dalam isu kesihatan mental dalam kalangan warganya, maka Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan 2023 telah diadakan pada 18 Oktober hingga 19 Oktober 2023 yang membawa tema “Karamah Insaniah: Tunjang Kesejahteraan Warga Pendidik ke Arah Membangun Malaysia MADANI.”
Manifestasi karamah insaniah memerlukan Kaunselor Pendidikan berpegang teguh dengan etika, integriti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas dan seterusnya dapat membantu pembangunan kesejahteraan warga pendidikan di negara ini.

Ketika ucapan perasmian tersebut, YB Fadhlina turut mengatakan bahawa Kaunselor Pendidikan dan Guru Bimbingan dan Kaunseling di KPM merupakan ejen penting, khususnya di sekolah dan KPM secara amnya bagi mewujudkan kesedaran kesejahteraan psikologi dalam kalangan warga pendidik dan murid.
“Oleh itu, usaha untuk sentiasa mempertingkatkan kompetensi dan kemahiran perlu dilakukan agar pengamal kaunseling berkepakaran tinggi dapat dilahirkan,” ulas YB Fadhlina.
Kongsi beliau,
Pada hari ini, Kaunselor Pendidikan sedang berdepan dengan cabaran dalam isu kesihatan mental yang turut memberikan kesan terhadap sistem pendidikan. Oleh itu, bimbingan dan kaunseling amat terkait rapat dengan sistem pendidikan negara.

Selain itu, pendekatan kaunseling khusus kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) juga perlu diberikan tumpuan. Dalam memberikan perkhidmatan terhadap MBPK, Guru Bimbingan dan Kaunseling perlu memahami aspek silang budaya, iaitu budaya murid berkeperluan khas yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pada majlis yang sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Tuan Ramzi bin Mansor ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan 2023 yang diadakan selama dua hari itu berkata bahawa persidangan tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 600 peserta secara bersemuka dan lebih 500 peserta yang menghadirinya secara hibrid.
Selain itu, pada petang tadi turut diadakan sesi pelancaran enam Dokumen Perkhidmatan Psikologi dan Perkhidmatan KPM:
Yang turut hadir pada Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan 2023 ialah Setiausaha Bahagian Kewangan, YBrs. Encik Yahya bin Ab. Ghani; Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling, YBrs. Puan Hajah Salmiah binti Monshie; pegawai kanan KPM; Kaunselor Pendidikan dan guru.
