Diterbitkan pada 19 Oktober 2023, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – “Pendidikan merupakan kunci ke arah pembangunan negara yang holistik dan pendidikan berkualiti memerlukan guru yang berketerampilan,” jelas Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa menyempurnakan Majlis Penganugerahan Duta Guru Kohort Ketiga sempena Simposium Kebangsaan 2023 di Hotel Movenpick, semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meningkatkan usaha bagi membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kerana bidang tersebut merupakan kehendak pasaran pada masa hadapan.

Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam meyakinkan anak-anak, bahawa STEM mempunyai kerjaya pada masa akan datang.

YB Fadhlina Sidek semasa menyempurnakan Majlis Penganugerahan Duta Guru Kohort Ketiga sempena Simposium Kebangsaan 2023 di Hotel Movenpick, semalam.

Oleh itu, menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jawatankuasa khas mengenai STEM akan ditubuhkan lalu menyusun agenda bagi meningkatkan pelibatan pelajar sekolah.

Sebelum itu, beliau meraikan sebanyak 253 guru daripada Program Duta Guru Kohort Ketiga, iaitu program melibatkan kerjsama antara KPM, Yayasan Petronas dan Teach for Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 2020 lagi.

Tema simposium pada tahun ini adalah “Melahirkan Penyelesai Masalah Kalis Masa Depan: Meneroka Persimpangan antara STEM Bersepadu dan Masa Depan Mampan”.

Tema Simposium Kebangsaan 2023 “Melahirkan Penyelesai Masalah Kalis Masa Depan: Meneroka Persimpangan antara STEM Bersepadu dan Masa Depan Mampan”.

Program ini merupakan sebuah program berkaitan dengan industri dan mengukuhkan kebolehan guru-guru STEM yang sedang berkhidmat di sekolah dan mempunyai majoriti murid-murid B40.

Para guru yang menyertai program ini akan menjalani latihan selama dua tahun dan menjelang tahun 2030, program ini akan melatih 4500 orang guru untuk menjadi teras kepada pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi