Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChuping – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Karnival Sukan Rakyat anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atau nama singkatannya KeMAP yang dianjurkan bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 yang diadakan di Padang Permainan Taman Desa Asnaf (TDA) MAIPs Batu Bertangkup, Chuping.



Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor. DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut meluangkan masa melawat projek menanam buah tembikai wangi atau rock melon yang baru sahaja diusahakan semula oleh pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) ketika berada di TDA tersebut.

Sebelum itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli bagi menjejaki dan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Husna, Batu Bertangkup, bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs. Penerima sumbangan zakat pada kali ini ialah Puan Romiah Lebai Diah, 85 tahun, dari Kampung Batu Bertangkup; Encik Mat Zainon Din, 70 tahun, dari Kampung Sungai Buloh; dan Puan Fatimah Sudin, 73 tahun, juga dari Kampung Batu Bertangkup.


Selepas program tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis bertitah,
Setiap individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam komuniti ini digalakkan untuk terus mempromosikan nilai-nilai positif yang sesuai dengan budaya dan tradisi rakyat Perlis khususnya dan Malaysia umumnya. Perkara ini boleh dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif yang mampu memupuk perpaduan, silang budaya dan pembangunan masyarakat dengan menyokong organisasi yang sejajar dengan nilai teras tersebut.