Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKundasang – Secangkir Kopi Siri 3/2023 bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA) telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pagi tadi.
Sebanyak 70 orang peserta yang melibatkan penyelidik dan staf Taman Kinabalu, Taman-Taman Sabah (TTS), guru dan pelajar SMK Mat Salleh, Ranau.
Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Datuk Dr. Misterine Radin, Mantan Pengarah Bahagian Profesional Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Encik Matsain Md. Buang, Pegawai Penyelidik (Botani), TTS.
Dengan bertemakan “Alam Dilestari, Seni Dijiwai”, penganjuran festival ini dapat melahirkan rasa cinta akan keunikan flora dan fauna di Sabah, di samping mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Dua buku yang dibicarakan ialah Biologi dan Ekologi: Rusa Sambar Sabah karya Encik Fred Tuh Yit Yu dan Rumput Laut Perairan Sabah karya Puan Lelian Edang. Kedua-dua penulis buku ini ialah penyelidik TTS.

Menurut Pengarah DBP Cawangan Sabah, program ini merupakan satu usaha DBP Cawangan Sabah untuk mempergiat aktiviti bicara buku, khususnya buku terbitan DBP penulis Sabah.

Sementara itu, Encik Fred yang merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Taman Kinabalu berkata,
Berkat dorongan yang diberikan oleh DBP, buku ini berjaya menerima Anugerah Buku Umum Terbaik Ketua Menteri Sabah pada tahun 2016.
Katanya, beliau hampir berputus asa kerana penerbitan buku ini mengambil masa selama lebih 10 tahun, namun galakan dan sokongan yang diberikan oleh TTS dan DBP, khususnya editor menjadi pembakar semangat untuk menyiapkan buku ini.
Panel kedua ialah Puan Lelian, Pembantu Penyelidik Kanan, Taman Kinabalu yang telah berkhidmat di TTS selama 33 tahun. Selain berkecimpung dalam penulisan buku umum, Puan Lelian telah menghasilkan tiga buah novel memandangkan beliau merupakan ahli persatuan penulis Etnik Momogun Malaysia (MOMOGUNSIA).
Penulisan buku umum ini lebih kompleks dan sukar. Menulis buku umum tidak semudah menulis buku sastera kerana banyak melibatkan fakta dan data.
Selain itu, mengambil gambar spesimen di dalam laut untuk dimuatkan dalam buku ini merupakan salah satu cabaran terbesar.
Puan Noorzanani Haji Kata, Ketua Unit Penerbitan turut memberikan Taklimat Tunjuk Cara Penggunaan Portal WadahDBP kepada peserta.
Majalah digital ini boleh dijadikan satu daripada medium penyebaran ilmu kepada orang awam tentang spesies flora dan fauna yang terdapat di TTS.
Diharapkan agar kerjasama yang terjalin antara DBP dengan TTS mampu memberikan impak positif kepada orang awam, khususnya warga Sabah kerana negeri Sabah terkenal dengan pelbagai spesies flora dan fauna.