Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putera – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan Majlis Apresiasi dan Kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan bertemu dengan sebanyak 2048 mahasiswa baharu UniMAP, sempena Majlis Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024, semalam.

Titah baginda,
Mahasiswa harus melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik anjuran universiti. Pelibatan aktif ini dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, selain meningkatkan prestasi dalam bidang akademik.
Aktiviti yang dianjurkan oleh universiti direka khusus bagi membentuk mahasiswa yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Bahkan, aktiviti tersebut dapat menggalakkan perkembangan bakat, sifat kreativiti selain melonjak potensi mahasiswa ke tahap yang maksimum.
Tuanku Raja Muda menzahirkan ucapan tahniah dan syabas atas kejayaan mahasiswa yang telah menempatkan diri ke peringkat institusi pendidikan tinggi awam ini.
Baginda berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan peluang keemasan ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester, di samping menjaga keselamatan diri serta nama baik masing-masing ketika berada di Perlis. Mereka juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi dan tidak melanggar batasan agama, undang-undang dan adab.
Keberangkatan tiba baginda berdua telah disambut oleh Naib Canselor, Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Kad My Siswa XOX ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi, XOX, ONEXOX dengan VMR Three Sdn. Bhd. (VMR3) bertujuan meningkatkan pembangunan bakat dan kreativiti dalam diri pelajar, terutamanya melalui aktiviti yang memerlukan penggunaan Internet dan data tinggi, pada harga yang rendah.
UniMAP akan menjadi antara universiti awam terawal yang bakal menikmati program MySISWA yang bukan sahaja menawarkan pek sim istimewa kepada pelajar dalam fasa pertama, malah turut mengamalkan gaya hidup berteknologi tinggi melalui keseluruhan ekologinya merangkumi ‘Smart Vending Machine’, platform e-Commerce tersendiri dan lain-lain dalam fasa berikutnya.